CAP Tidak Terkejut Dengan Pencemaran Air Mineral Botol

Apabila Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan penarikan balik air minuman botol “Starfresh” dari Malaysia pada 12 Jun 2019 disebabkan oleh pencemaran bakteria Pseudomonas aeruginosa, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak terkejut.

Berdasarkan penemuan di Singapura itu, penarikan balik yang sama juga perlu dilakukan di Malaysia jika produk itu dijual di sini.

Bakteria ini boleh ditemui di dalam najis, tanah, air dan kumbahan. Menurut SFA, bakteria ini boleh menyebabkan “pelbagai jangkitan tetapi jarang menyebabkan sakit yang serius dalam kalangan individu yang sihat.” Keadaan ini sudah cukup serius untuk penarikan balik.

CAP sejak berdekad menegaskan bahawa adalah lebih baik untuk mengambil air minuman yang sudah dimasak. Di samping menghilangkan klorin daripada air yang dimasak, kita juga membunuh bakteria yang ada di dalam air atau cerek. Gelas atau cawan yang kita minum boleh dibasuh dengan mudah dan tidak seperti botol plastik, ia tidak mengandungi pemplastik yang boleh mengganggu sistem endokrin tubuh, bertanggungjawab terhadap tumor kanser, kecacatan kelahiran dan gangguan perkembangan lain.

Daripada perspektif lain, pada 2017, sejuta botol plastik dibeli di seluruh dunia setiap minit. Sembilan puluh satu peratus daripadanya dibuang dan ia merupakan salah satu yang menyebabkan masalah alam sekitar. Ini kerana pemplastik di dalan botol akan melarut resap ke dalam alam sekitar sebelum memasuki sistem air dan makanan kita.

Reka bentuk bekas air minuman botol tidak membolehkannya dicuci dengan begitu mudah  dan ini akan menjadi tempat pembiakan bakteria.

Kenapa kita perlu meminum air botol sedangkan air minuman yang dimasak lebih mudah untuk disediakan di pejabat atau di rumah? Lebih mudah untuk membawa bekas air sendiri, dengan itu dapat mengurangkan keperluan untuk air minuman botol. Masalahnya adalah disebabkan oleh kita yang telah dipengaruhi oleh strategi iklan untuk mendapatkan wang kita sebagai pertukaran kepada ‘kemudahan’ (membeli di kedai serbanika) dan menikmati ‘air minuman yang bersih dan selamat’ (yang seringnya tidak begitu).

Kami juga ingin mengetahui apa yang akan berlaku kepada air botol Starfresh yang ditarik balik itu: Adakah air itu akan disterilkan sebelum ia dilupuskan?

Kami juga ingin menggesa Kementerian Kesihatan agar menjalankan dengan segera pemeriksaan ke atas premis semua pengeluar air botol mineral dan minuman untuk mengesahkan di mana air itu diperolehi.

 

Kenyataan Akhbar, 17 Jun 2019