
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru kerajaan negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendedahkan kepada umum laporan teknikal mengenai hakisan pantai yang teruk yang berlaku di Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah di Pulau Pinang.
Adalah penting laporan itu didedahkan kepada umum supaya punca hakisan pantai dan langkah-langkah mitigasi yang perlu diambil dapat difahami oleh semua yang berkepentingan, terutamanya mereka yang terjejas oleh hakisan kritikal pada harta benda mereka dan kehilangan pantai.
Pemimpin dalam kerajaan negeri tidak seharusnya menolak kebimbangan yang dibangkitkan oleh pertubuhan masyarakat sivil sebagai tidak berasas, mengenai kemungkinan kesan kerja-kerja penambakan besar-besaran yang telah dan sedang dijalankan di sekitar Pulau Pinang, tanpa mendedahkan kepada umum kajian teknikal saintifik atau laporan tentang apa yang berlaku.
Sekadar mengatakan bahawa hakisan pantai yang teruk disebabkan oleh faktor semulajadi adalah paling tidak bertanggungjawab dan tidak saintifik.
Adalah penting untuk menetapkan atau mengetepikan kenyataan melalui penyiasatan teknikal bahawa kerja-kerja penambakan tidak memberikesan kepada pergerakan ombak, pemendapan dan hakisan di sepanjang garis pantai.
Impak kumulatif serta kesan jangka panjang perlu dipertimbangkan dan bukan hanya mengetepikan kebimbangan pertubuhan masyarakat sivil sebagai tidak berasas, dan hanya menegaskan bahawa punca semulajadi sememangnya punca hakisan teruk berlaku.
JPS adalah pihak berkuasa berkenaan yang bertanggungjawab dalam hal-hal persisiran pantai dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mendedahkan laporan jabatan tersebut kepada umum, demi tadbir urus yang baik dan ketelusan.
Bukan sahaja SAM yang menyuarakan kebimbangan serius terhadap hakisan teruk yang berlaku tetapi juga hotel-hotel dan Persatuan Penduduk Tanjung Bungah yang menerima aduan daripada penduduk yang tinggal di sepanjang pantai yang menyaksikan kehilangan pantai yang merupakan aset awam penting. Terdapat juga kebimbangan terhadap keselamatan bangunan mereka.
Kami berharap kerajaan negeri akan memenuhi permintaan kami dan mendedahkan kepada umum laporan teknikal JPS mengenai hakisan pantai di kawasan terbabit.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia
Kenyataan Media, 30 Januari 2026

