DIHARAMKAN: Dua Krim Muka Mengandungi Racun Berjadual

Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan telah membatalkan notifikasi 2 produk kosmetik – Krim Muka Ailas Wild Rose Petal dan Krim Malam Desha (Pelembap) – selepas didapati mengandungi racun berjadual merkuri dan tretinoin.

“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap ke dalam tubuh, berpotensi menyebabkan kerosakan buah pinggang, kerosakan sistem saraf, dan mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau janin.

“Ia juga boleh menyebabkan ruam dan kerengsaan kulit,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan pada 9 Julai 2024.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, pedih, pengelupasan, dan sensitiviti kepada cahaya matahari, katanya.

Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia

Pengguna dinasihatkan untuk berhenti menggunakan 2 produk ini dengan segera dan dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan bagi sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk.

Penjual dan pengedar digesa menghentikan penjualan dan pengedaran produk ini serta-merta, kerana ia melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Mereka yang gagal mematuhi arahan ini boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, denda meningkat kepada RM50,000, atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Syarikat yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama, dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.