Faktor manusia dalam kematian penunggang motosikal di jalan raya

Kematian penunggang motosikal rakyat Malaysia mungkin mengatasi Thailand menurut laporan berita. Oleh itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bertanya kenapa, walaupun semua penyelidikan dan usaha dalam membendung kadar kemalangan, kadar kematian penunggang motosikal terus meningkat. Pada 2013, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendedahkan bahawa Malaysia merupakan negara yang kelima tertinggi dalam kematian di jalan raya melibatkan motosikal di dunia.

Berdasarkan perangkaan kemalangan dalam tempoh sedekad, peratus kematian penunggang motosikal tidak pernah turun di bawah 50 peratus daripada semua kematian di jalan raya walaupun kajian dan usaha dilakukan untuk merendahkan perangkaan. Pada 2020, ia mencapai 67.29 peratus.

Bilangan pemilikan motosikal berdaftar ialah hampir separuh daripada jumlah semua kenderaan berdaftar dan ini meningkatkan peluang kemalangan memandangkan terdapat persaingan untuk menggunakan jalan raya.

Kajian pada 2016 yang dijalankan oleh MIROS, menunjukkan mereka yang berusia antara 16 dan 25 tahun yang merupakan penunggang motosikal dengan bilangan yang paling tinggi mengalami kematian di jalan raya, kecederaan serius dan kecederaan ringan. Ini adalah kes yang dilaporkan, bilangan sebenar kemalangan mungkin tidak pernah diketahui memandangkan banyak kemalangan kecil tidak dilaporkan.

Kajian MIROS ke atas 921 pelajar daripada 32 sekolah menengah, penyelidik mendapati 62.4 peratus daripada pelajar menunggang motosikal tanpa lesen. Sebanyak 89.8 peratus daripada mereka mengakui bahawa mereka mempelajari menunggang motosikal tanpa lesen semuda usia 12 tahun. daripada 575 pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen, 88.2 peratus daripada mereka tidak pernah disaman. Kajian juga menunjukkan bahawa 62.6 peratus ibu bapa pelajar tidak menghalang atau melarang anak-anak mereka daripada menunggang motosikal tanpa lesen

Kerajaan perlu mempertimbangkan hanya membenarkan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah menunggang motosikal kecil yang hanya boleh bergerak antara 42 hingga 45 km sejam. Mengehadkan belia kepada motosikal kecil akan menjauhkan mereka daripada tarikan untuk menunggang dengan laju kerana kelajuan bukan keseronokan tetapi membunuh.

Hasil lain daripada kajian itu juga menunjukkan bahawa ibu bapa pelajar bersikap tidak apa terhadap keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka. Penguatkuasa undang-undang juga bersubahat melanggar undang-undang dengan tidak melakukan tugas mereka dengan tekun. Jika undang-undang tidak dikuatkuasakan, maka tidak ada makna untuk menetapkan usia minimum bagi menunggang motosikal.

MIROS juga mendapati kebanyakan penunggang motosikal keluar ke jalan utama dari persimpangan kurang daripada 4 saat dari kenderaan yang datang, mengakibatkan kemalangan serius dan mereka juga lemah dalam menggunakan isyarat membelok untuk memberi amaran kepada pemandu kenderaan lain mengenai niat mereka untuk membelok. Mangsa kemalangan motosikal ini telah dikenal pasti sebagai remaja.

Manakala jalan berlubang, reka bentuk jalan yang buruk, keadaan jalan yang buruk juga boleh dipersalahkan, faktor manusia tidak boleh dengan mudah dihapuskan dan ini perlu ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Kajian mendapati kebanyakan kemalangan melibatkan motosikal adalah akibat menunggang dengan cuai, laju, melanggar lampu isyarat dan membelok secara berbahaya. Kami ingin bertanya pihak berkuasa berapa banyak lesen motosikal yang digantung sejak pelaksanaan sistem mata demerit bagi kesalahan lalu lintas (KEJARA) pada 2017.

Kami menggesa kerajaan supaya mengenakan denda yang lebih berat kepada pemandu kenderaan yang melanggar peraturan lalu lintas. Orang ramai cenderung untuk melanggar undang-undang apabila mereka tahu bahawa mereka akan terlepas dengan tindakan itu atau mereka membayar denda yang ringan.

Didapati bahawa terdapat aliran menurun bagi mereka yang melanggar lampu merah semasa tahun pertama pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu merah. Bagaimanapun, bilangan pesalah meningkat pada tahun berikutnya.

Telah menjadi satu ejekan kepada undang-undang apabila kerajaan membuat tawaran bermusim diskaun yang besar apabila seseorang itu membayar saman lalu lintas. Kenapa kerajaan tidak menyenaraihitamkan sahaja pelaku kesalahan dan mencegah mereka daripada memperbaharui lesen atau cukai jalan mereka jika seseorang itu mempunyai saman tertunggak?

 

Kenyataan Akhbar, 18 Oktober 2021

Perangkaan Kematian Di Jalan Raya

  2010 2011 2012 2013 2014 2015
Kemalangan Maut Penunggang Motosikal  4,036 4,169 4,178 4,294 4,179 4,203
Jumlah Kemalangan Motosikal 120,156          
Jumlah Kemalangan Maut 6,872 6,877 6,917 6,915 6,674 6,706
% Motosikal Kepada Jumlah Kemalangan Maut 58.73 60.62 60.40 62.10 62.62 62.68
Bilangan Motosikal[1] 9,441,910 9,985,310, 10,589,820 11,087,880 11,629,260 12,094,790
Bilangan Pendaftaran Kenderaan 20,188,565 21,401,269 22,702,221 23,819,256 25,101,192 26,301,952
Motosikal: Jumlah Kenderaan 46.77% 46.66% 46.65% 46.55% 46.33% 45.98%
Penduduk 28,910,000 29,000,000 29,300,000 29,947,600 30,300,000 31,190,000

 

  2016[2] 2017 2018 2019 2020[3]
Kemalangan Maut Motosikal 4,485 4,347 4,129 3,959 3,118
Jumlah Kemalangan Maut 7,152 6,740 6,284 6,167 4,634
% Motosikal Kepada Jumlah Kemalangan Maut 62.71 64.5 65.7 64.20 67.29
           
           
Bilangan Motosikal 12,677,220 13,173,070 13,725,950 14,322,230  
Bilangan Kenderaan Berdaftar 27,613,120[4] 28,738,180[5] 29,956,470 31,200,000[6]  
Motosikal:  Jumlah Kenderaan 45.91% 45.84% 45.82% 45.90%  
Penduduk 31,660,000 32,022,600[7] 32,382,300 32,523,000 32,657,300

 

[1]AseanStatsDataPortal. Total number of registered motorcycles (in thousand). https://data.aseanstats.org/indicator/ASE.TRP.ROD.B.011

[2] MIROS. http://www.aseancap.org/v2/wp-content/uploads/2018/07/ICSM_MIROS-Keynote-Presentation-by-Dr.-Siti-Zaharah.pdf

[3] NST (24 June 2021). Malaysia records over 4.94 million accidents in last decade. https://www.nst.com.my/news/nation/2021/06/701892/malaysia-records-over-494-million-accidents-last-decade

[4]Vehicle Safety Regulations & Ratings. http://dspace.unimap.edu.my/bitstream/handle/123456789/62232/Vehicle%20Safety%20Regulations%20%26%20Ratings.pdf?sequence=1&isAllowed=y

[5]AseanStatsDataPortal. Total number of registered road motor vehicles (in thousand). https://data.aseanstats.org/indicator/ASE.TRP.ROD.B.005

[6] Paultan.org. Vehicles registrations in Malaysia – 31.2 mil as of 2019. https://paultan.org/2020/04/02/vehicles-registrations-in-malaysia-31-2-mil-as-of-2019/

[7] DOSM. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=c1pqTnFjb29HSnNYNUpiTmNWZHArdz09