Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPV) serta pihak-pihak lain yang berkenaan segera mengambil maklum akan masalah pencemaran alam sekitar yang membabitkan ladang ternakan babi di Kampung Jawi daerah Seberang Perai Selatan.
Menurut penduduk yang ditemui menyatakan masalah pencemaran ini telah lama berlaku dan kurang mendapat perhatian dari pihak-pihak yang berkenaan walaupun telah beberapa kali perkara ini dibangkitkan oleh mereka.
Sebaliknya penternak atau pemilik ladang terbabit enggan memberi kerjasama walaupun tahu bahawa penduduk rasa tidak senang dengan keadaan tersebut. Dalam masa yang sama penternak terbabit juga telah menaik taraf bangunan ternakan tanpa memikirkan soal sistem pengairan hingga menyebabkan kawasan rumah dinaiki air.
SAM juga difahamkan, kira-kira 300 ke 400 orang penududuk di kawasan ini merungut dengan masalah bau busuk dari ladang ternakan terbabit. Lagi pula jarak kediaman dengan bangunan ternakan tersebut dianggarkan 200 ke 300 meter sahaja dan yang paling dekat sekitar 10 ke 50 meter. Disebabkan itu, mereka menyuarakan masalah ini agar suara mereka didengari oleh pihak-pihak yang berkenaan dengan mengambil langkah-langkah membendung masalah pencemaran ini dari terus berlarutan.
Selain masalah pencemaran di kawasan itu, masalah lain yang perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak berkenaan adalah sistem perparitan yang kurang memuaskan. Saliran yang sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak apabila berlakunya hujan lebat memandangkan keadaan kawasan yang tidak terurus, semak, tersumbat dengan pelbagai benda asing seperti sampah selain pembuangan air kumbahan secara langsung dari ladang ternakan babi.
Menurut salah seorang penduduk menyatakan sekitar kawasan penempatan juga sering dinaiki air apabila hujan lebat dan mereka terpaksa mengharungi limpahan air berkenaan walaupun mereka tahu bahawa ia merupakan air yang bercampur dengan kumbahan dari ladang ternakan yang berdekatan.
Dari sumber lain pula maklumat yang diperoleh SAM mendapati, masalah pencemaran dari ladang ternakan babi bukan sahaja terjadi di kawasan Perkampungan Jawi, malah ia turut berlaku di beberapa buah kawasan lain antaranya Valdor dan Simpang Ampat. Perkara yang sama sepertimana yang berlaku di kawasan-kawasan lain seperti Kampung Selamat daerah Seberang Perai Utara. Cuma kebanyakan penduduk mengambil pendekatan dengan cara mendiamkan diri kerana mereka tahu bahawa tidak akan ada tindakan lanjut dari mana-mana pihak.
SAM berpandangan bahawa Isu pencemaran seperti ini tidak boleh dipandang ringan lanjutan daripada kesan negatif yang berpanjangan. Malah kesan buruk bukan sahaja terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan orang awam bahkan terhadap kualiti tanah, udara dan air.
Penguatkuasaan tegas perlu diambil oleh semua agensi yang berkenaan bagi melindungi alam sekitar. Sekiranya pencemaran ini tidak dibendung ia akan menjejaskan reputasi sesebuah negeri yang memperjuang dan mengamalkan konsep alam sekitar.
Sehubungan itu SAM sarankan supaya pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengadakan operasi bersepadu serta mengenakan tindakan yang lebih tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pelaku yang melakukan pencemaran ini.
Note: Tinjauan di lapangan bersama Harian Metro & Kosmo
Kenyataan Akhbar, 11 Oktober 2021