Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kebimbangan yang amat mendalam terhadap kadar penebangan pokok yang semakin pantas dijalankan bagi projek pembangunan berskala besar di seluruh negeri Pulau Pinang.
Kebimbangan kami pada masa ini khususnya berkaitan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara yang sedang dijalankan, di mana penebangan pokok secara meluas berlaku di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Sungai Tiram dan Gelugor, serta lokasi lain yang merupakan sebahagian daripada jajaran laluan LRT.
Perkembangan sistem pengangkutan awam tidak harus dicapai dengan mengorbankan kawasan hijau Pulau Pinang yang semakin berkurangan dengan begitu cepat. Pemusnahan pokok-pokok matang atas nama pembangunan adalah tidak mampan dan tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pokok memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekologi. Ia mengawal suhu bandar, meningkatkan kualiti udara, mengurangkan risiko banjir, memulihara air, mencegah hakisan tanah, dan menyediakan habitat kritikal bagi burung, tupai, serangga dan fauna lain. Penebangan pokok memusnahkan tapak dan tempat perlindungan haiwan untuk bersarang, memindahkan burung dan haiwan kecil lain, serta mengancam kelangsungan hidup haiwan ini. Penyingkiran pokok secara besar-besaran mengganggu kepelbagaian biologi dan memburukkan lagi perubahan iklim, menyumbang kepada peningkatan suhu, banjir kilat di bandar dan pencemaran udara yang semakin teruk.
Penduduk bandar sudah pun menanggung akibatnya. Kehilangan pokok matang meningkatkan lagi kesan pulau haba bandar, meningkatkan risiko kesihatan terutamanya penyakit sistem pernafasan dan mengurangkan kualiti hidup secara keseluruhan.
Melangkaui nilai alam sekitarnya, pokok-pokok adalah penting untuk kepelbagaian biologi bandar. Walaupun penanaman gantian sering disebut sebagai langkah bagi mengurangkan risiko, anak pokok tidak boleh menggantikan fungsi ekologi dan faedah pengawalseliaan iklim pokok berusia beberapa dekad.
Ahli pemuliharaan tempatan telah lama memberi amaran supaya tidak menganggap pokok matang sebagai penghalang kepada pembangunan. Mohd Afendi Hussin, Penolong Pegawai Penyelidik Kanan dari Cawangan Perhutanan Bandar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menegaskan bahawa pokok bandar adalah lebih daripada tujuan hiasan. Kanopi pokok memberikan teduhan yang penting, mengurangkan suhu bandar dan melindungi penduduk daripada haba melampau, menjadikan pokok amat diperlukan untuk sebuah bandar yang sihat dan boleh didiami.
Pulau Pinang sudah pun bergelut dengan peningkatan suhu, kualiti udara yang semakin merosot, dan genangan air. Penebangan pokok yang berterusan bagi projek infrastruktur seperti LRT hanya akan memburukkan lagi masalah-masalah ini. Ironinya inisiatif pengangkutan awam bagi mencapai objektif kelestarian membawa kepada masalah lain lanjutan daripada penebangan pokok untuk laluan.
Akibat daripada satu lagi projek pembangunan berskala besar mega sudah pun kelihatan di Bandar Baru Air Itam. Pernah satu ketika menjadi kawasan kejiranan yang penuh dengan pokok dan berdaya huni, ia kini telah berubah menjadi zon pembinaan yang terlalu panas berikutan pembersihan pokok secara meluas bagi jalan pintasan Lebuhraya Air Itam – Tun Dr Lim Chong Eu. Penduduk kini melaporkan haba yang begitu terik, bunyi bising yang berterusan, dan pencemaran udara yang meningkat dikaitkan secara langsung dengan aktiviti pembinaan yang sedang berjalan.
CAP menggesa pihak berkuasa untuk segera menghentikan pembersihan pokok selanjutnya dan mengkaji semula reka bentuk projek dengan segera, meneroka penjajaran alternatif, dan mengutamakan pemindahan pokok di mana-mana yang boleh. Tiada pembersihan tambahan harus dibenarkan tanpa penilaian yang telus dan komprehensif yang merangkumi sepenuhnya kesan kumulatif dan jangka panjang.
Melindungi pokok dan kawasan hijau bandar adalah tanggungjawab bersama. Ia memerlukan tindakan tegas dan kerjasama yang tulen daripada semua pihak berkepentingan iaitu perancang bandar, jurutera, arkitek, pemaju hartanah, arborists, sektor swasta dan orang ramai dan bukan sekadar tindakan simbolik atau langkah pencegahan setelah kejadian.
Melindungi pokok matang bukan pilihan atau kosmetik; ia merupakan pelaburan kritikal dalam kesihatan awam, daya tahan iklim, dan kualiti hidup generasi masa kini dan akan datang.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Siaran Akhbar, 30 Januari 2026



