Kekecewaan dan kemarahan penduduk Selangor amat difahami memandangkan satu lagi kejadian terputusnya bekalan air yang menjejaskan kehidupan berjuta orang.
Penutupan bekalan air kelmarin disumbang oleh pembuangan haram sisa buangan ke dalam lurang Indah Water Konsortium (IWK) yang mencemarkan Sungai Selangor.
Jelas bahawa pihak berkuasa tidak mampu untuk mencari punca sebenar kepada masalah – iaitu mencegah pembuangan haram sisa dan efluen ke dalam sungai kita.
Meskipun pengumuman oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini dalam menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar (ECU) bagi meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, ditambah dengan kerjasama antara kementerian, polis dan angkatan tentera untuk melindungi sumber negara kita daripada pencemaran, ia menunjukkan pihak berkuasa tidak bertindak bersama.
Orang ramai perlu mengetahui jika ECU telah diaktifkan dan apakah langkah yang sedang diambil dan bagaimana pihak berkuasa Persekutuan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi mencegah pembuangan haram seperti itu daripada berlaku lagi.
SAM menggesa pihak Menteri supaya menjelaskan usaha yang sedang diambil oleh pihak berkuasa supaya bertindak dengan segera.
Kesabaran orang ramai sudah hilang dan kami memerlukan jawapan dengan segera.
Kenyataan Media, 11 November 2020