Dalam tempoh beberapa hari lalu, berlaku kemalangan yang membabitkan tapak pembinaan dan peralatan pembinaan. Syukurlah dalam kemalangan tersebut mangsa terselamat. Namun Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa dukacita kerana kemalangan berkenaan tidak seharusnya berlaku.
Setiap kali kemalangan berlaku, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku. Adakah ia cuma suatu kemalangan ataupun berlaku kerana kecuaian? Sekiranya ia berlaku disebabkan kecuaian, maka siapakah yang patut dipersalahkan? Pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri?
Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kesemua kemalangan terbabit. Adakah kemalangan itu berlaku kerana …
· pemaju mengupah kontraktor termurah tanpa memeriksa terlebih dulu kelayakan dan etika kerjanya
· kontraktor mungkin mengupah buruh termurah yang boleh ditemui, iaitu pekerja asing yang tidak mahir
· kontraktor menggunakan bahan binaan yang murah dan tidak berkualiti untuk menjimatkan kos
· peralatan yang digunakan di tapak binaan mungkin tidak lagi sesuai untuk kegunaan atau mungkin masih boleh digunakan tetapi sudah mulai rosak, oleh itu berbahaya apabila digunakan
· pekerja binaan tidak dilengkapi peralatan perlindungan diri yang sempurna (PPE)
· pekerja binaan mungkin dilengkapi dengan PPE tetapi penyelia tidak menguatkuasakan pemakaiannya
· ketiadaan penyelia di tapak binaan
Satu hal yang pasti, dasar yang ada pada masa kini dan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berkenaan berhubung kemalangan dalam industri pembinaan tidak cukup tegas. Oleh itu sejarah berulang.
Sehubungan itu kami menggesa, seperti yang kami lakukan berulangkali sebelum ini, pihak berkuasa agar bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam beberapa kemalangan yang berlaku baru-baru ini. Sekiranya undang-undang semasa tidak membolehkan pihak berkuasa bertindak tegas seperti yang sepatutnya, maka undang-undang itu perlu dipinda.
Surat kepada Pengarang, 23 September 2020