Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar membentuk piawaian keselamatan mandatori bagi tong gas memasak.
Di Malaysia, kebocoran gas yang menyebabkan letupan berlaku telah mengakibatkan kecederaan dan kematian sejak beberapa tahun lalu. Kes terbaharu membabitkan seorang doktor yang kini bertarung nyawa selepas letupan gas menyebabkan 95% anggota tubuhnya melecur.
Menurut seorang doktor, letupan gas kini merupakan salah satu penyebab utama kemasukan ke unit rawatan kebakaran di negara ini, dan berikutan kerumitan serta keterukan kes-kes seumpamanya, majoriti mangsa perlu dirawat di hospital kerajaan, yang memerlukan penjagaan rapi.
Kadar kematian amat tinggi, dan secara kasar sepadan dengan bahagian permukaan tubuh yang melecur. Misalnya jika 80% tubuh melecur maka kadar kematian adalah setinggi 80%.
Dalam sebahagian besar kes, jika pesakit mampu bertahan dalam tempoh 24 jam yang pertama, mereka akan mengalami komplikasi, jangkitan dan kegagalan organ yang kesemuanya menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi itu.
Dalam kes-kes di mana mangsa terselamat, rawatan di hospital seringkali berlanjutan hingga 6 bulan atau lebih lama dengan tempoh pemulihan yang panjang selepas keluar dari hospital. Sekiranya mereka mampu kembali bertugas, ia juga memakan masa yang lama.
Menurut lembaran fakta Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2016, keadaan melecur menjadi masalah kesihatan awam dunia, membabitkan sekitar 265,000 kematian setahun. Sebahagian besar daripadanya berlaku di negara berpendapatan rendah atau sederhana, dan hampir separuh berlaku di Asia Tenggara. Keadaan melecur yang tidak membawa maut menjadi punca utama morbiditi, termasuk menerima rawatan yang lama di hospital, kecacatan anggota tubuh dan hilang upaya. Pesakit juga mengalami stigma dan tidak diterima oleh masyarakat.
Gas memasak tidak berbau tetapi ‘mercaptan’ (bahan berbau tengik) dicampurkan kepadanya agar mudah dikesan jika berlaku kebocoran.
Ketika letupan gas berlaku, bocoran boleh berlaku pada injap tong gas ataupun dalam hos getah penyambung, atau pada injap ketuhar. Setiap jenis bocoran perlu dikendalikan dengan cara yang berbeza.
Hampir setiap rumah di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu dapur yang menggunakan gas (dalam tong) untuk memasak. Sungguhpun ia telah digunakan selama lebih 50 tahun di Malaysia, tidak banyak maklumat dan pendidikan yang ada bagi membolehkan pengguna arif mengenai kegunaan dan penyelenggaraan tong gas memasak. Sementara itu, banyak tong gas yang digunakan sudah lama, berkarat dan tidak diselenggara dengan sempurna.
Sehubungan dengan bahaya letupan tong gas, CAP menggesa pihak berkuasa agar:
- Membentuk piawaian keselamatan mandatori bagi tong gas memasak;
- Menyediakan prosedur keselamatan berhubung penggunaan gas memasak dan ketika kecemasan;
- Mewajibkan tong gas meletakkan tarikh luput bagi tong, injap, hos dan regulator gas;
- Memeriksa dengan kerap tong gas yang digunakan;
- Memastikan semua alat termasuk gelang getah mematuhi piawaian;
- Menubuhkan sebuah badan untuk menguji tong gas dan alatan yang berkaitan;
- Menubuhkan sebuah badan pengawal bagi industri gas memasak;
- Mewajibkan gerai penjaja dan tempat makan mempunyai alat pemadam kebakaran;
- Menggalakkan kesedaran mengenai keselamatan gas.
Sementara itu pengguna dinasihatkan agar:
- Memastikan dapur mereka sentiasa bersih kerana permukaan yang berminyak boleh menyebabkan api mudah menyambar.
- Periksa keadaan tong gas sebelum menggunakannya. Perhatikan penutup getah di sebelah dalam kepala tong gas (selepas tudungnya dibuka). Penutup itu menghalang kebocoran apabila regulator gas dimasukkan.
- Gantikan hos dan klip setiap dua tahun dan regulator gas setiap lima tahun.
- Elakkan cecair melimpah dari periuk. Sup atau kuah yang tumpah boleh masuk ke dalam/menghalang lubang api gas.
- Pastikan dapur atau ruang memasak mempunyai pengudaraan yang baik.
- Jangan meletakkan benda berat seperti buku di atas regulator gas jika gas tidak dilepaskan. Jika perkara ini berlaku, sudah tiba masanya untuk menukar regulator gas.
- Jika anda terbau gas, matikan sumber gas dan JANGAN HIDUPKAN ATAU MATIKAN peralatan elektrik. Ini dapat mencegah percikan elektrik yang boleh menyebabkan gas terbakar atau mengakibatkan letupan.
Kenyataan Akhbar, 3hb Ogos 2021