Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) begitu terkejut dengan pengumuman bahawa Touch ‘n Go sedang bekerjasama dengan CIMB Bank Bhd dalam menghasilkan produk pinjaman peribadi yang boleh diperolehi melalui Touch ‘Go e wallet, tanpa mengira kadar faedah.
Pengenalan pinjaman peribadi yang mudah menggalakkan budaya pergantungan hutang dalam kalangan rakyat yang ingin berbelanja apa yang tidak mereka miliki. Kemudahan mendapatkan pinjaman akan membuatkan orang awam cenderung berbelanja di luar kemampuan mereka dan sekiranya mereka berasa sukar untuk membayar hutang, ia boleh mencetuskan keresahan, kemurungan dan stres.
Ramai warga Malaysia diketahui agak lemah dalam hal-ehwal kewangan dan dengan memberikan mereka kemudahan mendapatkan pinjaman peribadi, tidak akan membantu mereka. Tidak ramai yang patuh dengan nasihat Warren Buffett iaitu “Jangan menyimpan apa yang ada selepas berbelanja, sebaliknya berbelanjalah apa yang tinggal selepas menyimpan.”
Apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan wang mereka di bawah skim i-Sinar pada 2021, ramai yang mengeluarkan wang simpanan mereka untuk melabur dalam saham berisiko tinggi, emas dan matawang kripto (cryptocurrencies) atau sebaliknya berbelanja sakan. Ia mungkin berbeza jika mereka menggunakan wang itu untuk mengurangkan pinjaman mereka kerana membayar semula pinjaman boleh membantu mengurangkan faedah kompaun atau pun membeli barangan keperluan keluarga.
Di antara terma dan syarat GoPinjam yang membimbangkan adalah gaji minimum RM800 melayakkan pengguna mendapatkan pinjaman. Dengan gaji serendah itu yang ternyata agak membebankan untuk sampai ke penghujung bulan, berapa banyak pinjaman yang boleh diambil oleh seseorang dan bagaimana beliau hendak membayarnya jika pinjaman itu diluluskan.
Menurut maklumat GoPinjam, caj kadar faedah rata adalah di antara 8 hingga 36 peratus. Meskipun jumlah yang dipinjam digunakan untuk pelaburan, ia juga tidak masuk akal kerana secara amnya pulangan pelaburan yang wajar berserta risiko adalah kira-kira 10 peratus sementara KWSP adalah kira-kira 6 peratus.
Amat memeranjatkan bagaimana Bank Negara Malaysia boleh meluluskan GoPinjam untuk beroperasi kerana dengan membenarkan pinjaman peribadi seperti itu, BNM telah mewujudkan duluan untuk bank lain mencontohinya iaitu bekerjasama dengan pengendali e-wallet lain.
Sehubungan itu, CAP menggesa BNM menimbang semula keputusannya mengenai operasi GoPinjam kerana ia akan hanya menguntungkan pihak Touch ‘n Go dan CIMB, bukannya pengguna. Dengan menimbangkan hakikat bahawa pinjaman tersebut berada dalam lingkungan RM100 dan RM10,000 dengan tempoh bayaran balik pinjaman di antara seminggu dan setahun, ada kemungkinan GoPinjam mensasarkan kumpulan B40 hingga M40 yang paling cenderung berhutang.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat kepada Pengarang, 22hb. April 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/