Hari Kelip-Kelip Sedunia: Bantu Kekalkan Cahaya Berkelip

Gambar melalui Explore

Setiap tahun pada hujung minggu pertama bulan Julai, satu acara tahunan dianjurkan untuk meraikan kepentingan kelip-kelip dalam ekosistem kita dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman yang dihadapi oleh serangga bercahaya ini. Tema untuk Hari Kelip-Kelip Sedunia 2025 ialah “Bantu Kami Kekalkan Cahaya Berkelip”, yang akan diadakan pada 5 dan 6 Julai.

Hari Kelip-Kelip Sedunia bertujuan untuk menarik perhatian terhadap ancaman berterusan yang dihadapi oleh kumbang bercahaya ini. Salah satu sebab utama penurunan populasi mereka ialah kemusnahan habitat. Kelip-kelip hidup subur di kawasan tanah lembap, kawasan hutan di sepanjang tebing sungai di mana larvanya tumbuh di tanah lembap atau lapisan daun, dan juga di hutan paya bakau di mana mereka membiak di dalam air payau.

Kelip-kelip sangat bergantung kepada paya bakau sebagai habitat kerana ekosistem tanah lembapnya yang unik dengan paya bakau bertindak sebagai tempat perlindungan kepada serangga dan invertebrata lain, sambil bertindak sebagai barisan pertahanan pertama semasa cuaca ekstrem seperti ribut dan banjir. Pokok bakau di sepanjang kawasan tebing sungai merupakan tapak terbaik untuk kelip-kelip manjadikan habitatnya sebagai sumber makanan dan tempat pembiakan.

Malangnya, kawasan bakau yang luas telah ditebang untuk pertanian, akuakultur, projek tebatan banjir, dan pembalakan pokok bakau untuk industri arang, menjadikan kawasan ini tidak sesuai untuk kelangsungan hidup larva kelip-kelip dan mangsa siputnya. Apabila hutan ditebang bagi tujuan pembangunan, habitat kelip-kelip semakin berkurangan dan akhirnya lenyap. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh Asia Tenggara akibat pertambahan dan pembangunan populasi manusia.

Satu lagi ancaman ialah pencemaran cahaya. Kelip-kelip menggunakan cahayanya untuk menarik pasangan, tetapi lampu jalan, lampu rumah dan pencahayaan luar yang berlebihan boleh mengganggu komunikasi antara kelip-kelip dan menjejaskan kitaran pembiakan mereka. Tambahan pula, kewujudan lampu buatan boleh mengganggu tingkah laku mengawan yang rumit, yang bergantung kepada cahaya berkelip jantan untuk menarik perhatian betina.

Aktiviti manusia lain seperti pembinaan empangan juga menyebabkan bekalan makanan kelip-kelip berkurang, sekali gus mengurangkan populasi serangga yang tersendiri ini. Keasidan tanah dan kepekatan logam yang lebih tinggi menghalang larva kelip-kelip daripada berkembang dan membesar. Keadaan ini diburukkan lagi oleh perubahan iklim kerana kelip-kelip memerlukan persekitaran yang lembap, yang kini terganggu akibat kemarau dan cuaca ekstrem. Selain itu, penggunaan racun perosak membunuh kelip-kelip secara langsung atau mengurangkan akses mereka kepada sumber makanan seperti siput dan lintah bulan, menjadikan usaha pemuliharaan kelip-kelip lebih mencabar.

Kelip-kelip memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekologi dengan membantu mengawal populasi perosak pertanian secara semula jadi. Larva kelip-kelip ialah pemangsa yang memakan lintah bulan, siput, cacing dan invertebrata moluska lain, jadi secara semula jadi mengawal jumlah populasi mangsa. Keseimbangan ekologi yang telah wujud sejak berjuta-juta tahun boleh terganggu dengan kehilangan kelip-kelip, yang berpotensi menyebabkan ledakan populasi mangsa tertentu.

Sebagai penunjuk kesihatan alam sekitar, kewujudan, kepupusan atau keadaan kelip-kelip boleh memberikan petunjuk tentang tahap kesihatan ekosistem. Air bersih, tanah yang tidak terganggu, pencemaran cahaya yang minimum dan tumbuhan yang sesuai adalah penting untuk kitaran hidup mereka. Penurunan populasi kelip-kelip yang turut memberi kesan kepada banyak spesies lain merupakan tanda kemerosotan alam sekitar yang lebih luas. Tanpa spesies penunjuk ini, sukar untuk mengenal pasti perubahan alam sekitar yang merosakkan sehinggalah ia menjadi krisis.

Mencegah kepupusan kelip-kelip adalah satu cabaran dan juga peluang untuk pemuliharaan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyeru supaya usaha pemuliharaan kelip-kelip yang berkesan merangkumi pelbagai tindakan serentak: melindungi dan memulihkan habitat, mengurangkan pencemaran cahaya, mengehadkan penggunaan racun perosak, mengurus spesies invasif, mengurangkan kesan perubahan iklim dan sebagainya. Cabaran menyelamatkan kelip-kelip juga memberi peluang kepada masyarakat umum untuk mengambil bahagian dalam usaha pemuliharaan secara lebih meluas dengan membangunkan hubungan emosi terhadap serangga yang dikasihi ini.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Akhbar, 4 Julai 2025