Hari Perikanan Sedunia 2026 − Melindungi Laut, Mempertahankan Hak Nelayan dan Menjamin Kelangsungan Sumber Perikanan

Nelayan yang sedang menjala udang galah

Sempena Sambutan Hari Perikanan Sedunia pada 21 November 2026, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru kerajaan, pihak industri dan seluruh masyarakat supaya memperkukuh komitmen dalam melindungi ekosistem marin, memastikan pengurusan sumber perikanan secara lestari serta mempertahankan hak dan kebajikan komuniti nelayan kecil dan tradisional.

Laut dan ekosistem pesisir pantai merupakan sistem sokongan kehidupan yang amat penting kepada manusia. Selain membekalkan sumber makanan dan menyumbang kepada ekonomi negara, ekosistem ini menyediakan habitat pembiakan dan pembesaran pelbagai spesies hidupan marin serta menyokong kelangsungan hidup ribuan keluarga nelayan.

Bagi komuniti nelayan kecil, khususnya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada sumber laut, kesihatan ekosistem marin mempunyai hubungan langsung dengan hasil tangkapan, pendapatan dan kesejahteraan keluarga. Justeru, kelestarian sektor perikanan tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah pendaratan ikan dan nilai ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan ekosistem, daya tahan sumber perikanan dan keadilan kepada komuniti yang bergantung kepadanya.

Sejarah Hari Perikanan Sedunia

Hari Perikanan Sedunia (World Fisheries Day) disambut pada 21 November setiap tahun bagi memperingati perjuangan dan solidariti komuniti nelayan serta pekerja perikanan di seluruh dunia.

Seorang nelayan Pantai Bagan Datuk sedang menanam pokok bakau sebagai komitmen pemuliharaan sumber perikanan.

Sejarah sambutan ini bermula pada 21 November 1997 apabila wakil nelayan dan pekerja perikanan dari 18 negara berhimpun di New Delhi, India, dalam pertemuan yang dikenali sebagai World Forum of Fish Harvesters & Fish Workers. Perhimpunan tersebut membawa kepada pembentukan World Fisheries Forum dan pengisytiharan bersama yang menekankan kepentingan pengurusan sumber perikanan secara lestari serta pengiktirafan terhadap hak komuniti nelayan.

Sejak itu, 21 November diperingati sebagai Hari Perikanan Sedunia untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sektor perikanan, ancaman terhadap sumber marin serta keperluan melindungi mata pencarian komuniti nelayan.

Sambutan ini membawa mesej bahawa kelestarian sumber perikanan tidak boleh dipisahkan daripada perlindungan alam sekitar, keadilan sosial dan pengiktirafan terhadap hak komuniti nelayan kecil

Ancaman Terhadap Ekosistem Marin Semakin Membimbangkan

Berdasarkan penglibatan dan pemerhatian SAM bersama komuniti nelayan di kawasan pesisir pantai, pelbagai tekanan terhadap ekosistem marin memerlukan perhatian serius daripada kerajaan dan pihak berkuasa.

Antara isu yang membimbangkan termasuklah kemusnahan habitat pesisir pantai akibat pembangunan yang tidak terkawal, penambakan laut, pencemaran marin, kemerosotan kawasan hutan bakau serta penggunaan kaedah penangkapan ikan yang boleh merosakkan habitat dan mengancam pembiakan hidupan marin.

Aktiviti penangkapan ikan yang tidak bertanggungjawab, termasuk penggunaan alat tangkapan yang merosakkan dasar laut dan habitat marin, boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap produktiviti perikanan. Sekiranya tidak dikawal, tekanan ini bukan sahaja mengancam kepelbagaian biologi marin, malah menjejaskan kawasan tangkapan tradisional yang menjadi sumber pendapatan nelayan kecil.

SAM menegaskan bahawa laut bukan sumber ekonomi yang boleh dieksploitasi tanpa batas. Ia merupakan ekosistem yang kompleks dan mempunyai had daya tampung. Sebarang pembangunan dan aktiviti ekonomi di kawasan pesisir pantai perlu mengambil kira keupayaan ekosistem untuk pulih serta kepentingan komuniti yang bergantung kepadanya.

Pencemaran Plastik Dan Mikroplastik: Ancaman Senyap Kepada Laut Dan Sumber Makanan

SAM turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pencemaran plastik dan mikroplastik yang semakin menjadi ancaman kepada kesihatan ekosistem marin dan kelestarian sumber perikanan.

Pendapatan nelayan pantai Tanjong Sepat semakin merosot akibat pencemaran najis babi.

Sisa plastik daripada kawasan daratan, sungai, aktiviti perindustrian, penggunaan harian serta kegiatan perikanan akhirnya boleh memasuki persekitaran laut. Plastik yang terdedah kepada cahaya matahari, ombak dan proses luluhawa akan terurai menjadi cebisan yang semakin kecil, termasuk mikroplastik yang berukuran kurang daripada lima milimeter.

Mikroplastik boleh ditelan oleh pelbagai organisma marin seperti plankton, kerang-kerangan dan ikan. Pengumpulan serta pemindahan zarah plastik dalam rantaian makanan marin menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan hidupan akuatik dan potensi pendedahan manusia melalui pengambilan makanan laut. Walaupun kesan jangka panjang terhadap kesihatan manusia masih memerlukan penyelidikan lanjut, kewujudan mikroplastik dalam persekitaran marin merupakan isu pencemaran yang tidak boleh dipandang ringan.

Bagi komuniti nelayan, pencemaran plastik bukan sekadar isu kebersihan pantai. Sampah plastik, tali dan jaring yang hilang atau ditinggalkan di laut boleh menyebabkan hidupan marin terjerat, merosakkan habitat, mengganggu aktiviti penangkapan ikan dan meningkatkan kos operasi nelayan.

Piling di kawasan laut Melaka telah menjejaskan kawasan tangkap nelayan yang menggunakan pukat hanyut

SAM berpandangan bahawa pendekatan menangani pencemaran plastik tidak boleh hanya tertumpu kepada aktiviti pembersihan pantai dan perairan. Tindakan perlu bermula dari punca pencemaran melalui pengurangan pembuatan plastik, pengurangan penggunaan plastik sekali guna, penambahbaikan sistem pengurusan sisa pepejal, kawalan pelepasan sisa ke sungai dan laut serta tanggungjawab pengeluar terhadap produk plastik yang dihasilkan.

Usaha ini juga perlu melibatkan sektor perikanan melalui pengurusan peralatan menangkap ikan yang lebih bertanggungjawab, termasuk pengumpulan semula jaring, tali dan peralatan yang rosak atau tidak lagi digunakan bagi mengelakkan pencemaran plastik di laut.

SAM menegaskan bahawa laut yang tercemar dengan plastik bukan sahaja kehilangan keupayaan ekologinya, malah turut mengancam sumber makanan dan mata pencarian komuniti yang bergantung kepada laut.

Nelayan Kecil Tidak Boleh Dipinggirkan

SAM berpandangan bahawa nelayan kecil dan tradisional perlu diberikan pengiktirafan sebagai pihak berkepentingan utama dalam pengurusan sumber perikanan negara.

Golongan ini bukan sahaja bergantung kepada laut untuk kelangsungan hidup, malah memiliki pengetahuan tempatan yang penting berkaitan perubahan ekosistem, keadaan sumber perikanan dan ancaman di kawasan pesisir pantai.

Walau bagaimanapun, mereka masih berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk kemerosotan hasil tangkapan, persaingan dengan aktiviti perikanan berskala besar, kehilangan kawasan penangkapan ikan, kesukaran mendapatkan lesen serta tekanan pembangunan pesisir pantai.

SAM turut berpandangan bahawa isu perlesenan nelayan tradisional perlu diberikan perhatian yang lebih serius. Proses perlesenan hendaklah telus, adil dan tidak membebankan nelayan kecil sehingga menafikan peluang mereka untuk meneruskan mata pencarian secara sah.

Pengurusan perikanan yang baik tidak seharusnya hanya memberikan tumpuan kepada peningkatan pengeluaran ikan. Sebaliknya, ia perlu memastikan akses yang adil kepada sumber, perlindungan mata pencarian serta penglibatan bermakna komuniti nelayan dalam proses membuat keputusan.

Tuntutan dan Syor Sahabat Alam Malaysia

Sempena Hari Perikanan Sedunia 2026, SAM menggesa kerajaan dan agensi berkaitan supaya mengambil tindakan yang lebih menyeluruh melalui langkah-langkah berikut:

1. Memperkukuh perlindungan ekosistem marin dan pesisir pantai

Memastikan pembangunan, penambakan laut dan aktiviti ekonomi tidak memusnahkan habitat penting, kawasan pembiakan hidupan marin serta kawasan tangkapan tradisional nelayan.

2. Mengawal aktiviti penangkapan ikan yang merosakkan

Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaan alat tangkapan yang merosakkan habitat dan mengancam kelestarian sumber perikanan. Penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan adil tanpa mengira skala operasi.

3. Memulihara hutan bakau dan ekosistem pesisir pantai

Melindungi kawasan hutan bakau, padang lamun (rumput laut) dan habitat semula jadi lain yang berfungsi sebagai kawasan pembiakan hidupan marin, penyerap karbon serta benteng semula jadi terhadap hakisan pantai dan kesan perubahan iklim.

4. Mengurangkan pencemaran plastik dan mikroplastik

Mengurangkan dengan drastik pengeluaran plastik dan penggunaan plastik sekali guna, menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal, mencegah kebocoran sisa dari daratan ke laut serta meningkatkan pemantauan dan mengurangkan pencemaran mikroplastik dalam ekosistem marin.

5. Menambah baik sistem perlesenan nelayan kecil

Memastikan proses permohonan lesen lebih telus, adil dan cekap serta memberikan penyelesaian kepada nelayan tradisional yang telah lama bergantung kepada aktiviti perikanan tetapi berhadapan kesukaran mendapatkan pengiktirafan dan lesen yang sewajarnya.

6. Mengiktiraf hak dan suara komuniti nelayan

Melibatkan komuniti nelayan secara bermakna dalam perancangan pembangunan pesisir pantai, proses penilaian kesan kepada alam sekeliling dan pengurusan sumber perikanan. Pandangan serta pengetahuan tempatan mereka perlu diberikan pertimbangan serius dan sewajarnya dalam proses membuat keputusan.

7. Memperkukuh pemantauan dan penyelidikan sumber perikanan

Memastikan keputusan berkaitan pengurusan perikanan dibuat berdasarkan data saintifik, pemantauan berterusan dan pengetahuan komuniti tempatan. Penyelidikan mengenai mikroplastik, kesihatan ekosistem marin dan perubahan hasil tangkapan perlu diperkukuh bagi menyokong pengurusan sumber perikanan yang mampan.

8. Mengutamakan pendekatan perikanan berskala kecil yang lestari

Menyokong penggunaan alat tangkapan yang lebih mesra alam, amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab serta inisiatif yang meningkatkan daya tahan ekonomi dan kesejahteraan komuniti nelayan kecil.

Laut yang Sihat Adalah Jaminan Masa Depan

SAM ingin menegaskan bahawa masa depan sektor perikanan negara bergantung kepada sejauh mana kita mampu melindungi ekosistem marin daripada kemusnahan habitat, eksploitasi berlebihan dan pencemaran.

Kita tidak boleh mengharapkan sumber perikanan terus kekal produktif sekiranya kawasan pembiakan ikan semakin musnah, habitat marin semakin terancam dan pencemaran plastik terus memasuki rantaian makanan laut.

Usaha memelihara laut bukan tanggungjawab nelayan semata-mata. Ia merupakan tanggungjawab bersama kerajaan, pihak industri, agensi penguatkuasaan, institusi penyelidikan, pertubuhan masyarakat sivil dan seluruh rakyat Malaysia.

Nelayan kecil perlu dilihat bukan sekadar sebagai kelompok yang bergantung kepada sumber laut, tetapi sebagai rakan penting dalam usaha memelihara dan memantau kesihatan ekosistem marin. Pengalaman serta pengetahuan mereka di lapangan merupakan sumber maklumat yang amat bernilai dalam mengenal pasti perubahan dan ancaman terhadap persekitaran laut.

Sempena Hari Perikanan Sedunia 2026, SAM menyeru agar pembangunan sektor perikanan negara meletakkan kelestarian ekosistem dan kesejahteraan komuniti nelayan sebagai keutamaan. Perlindungan laut perlu dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya apabila sumber perikanan telah merosot atau kerosakan alam sekitar sudah berlaku.

Melindungi laut bermakna melindungi sumber makanan, mempertahankan kehidupan nelayan dan menjamin hak generasi akan datang untuk menikmati sumber alam yang sama.

 

Azrul Faizal bin Mohamed
Pegawai Penyelidik
Sahabat Alam Malaysia

Surat Kepada Pengarang, 21 November 2026