
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan persekutuan dan khususnya Menteri Ekonomi supaya tidak tergesa-gesa meluluskan Rang Undang-undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), tanpa perbahasan dan perundingan yang lebih teliti dan termaklum dalam kalangan ahli Parlimen, termasuk dengan kumpulan berkepentingan alam sekitar dan awam.
SAM mempersoalkan kenapa tergesa-gesa dan terburu-burunya untuk meluluskan rang undang-undang ini, sedangkan teknologi CCUS ini menimbulkan kontroversi, dan pelaksanaannya membawa risiko ekonomi, alam sekitar dan sosial yang tinggi dengan kesan yang amat serius.
Tadbir urus yang baik dan telus bermakna ia akan, sekurang-kurangnya, mewujudkan peluang dan memperuntukkan masa untuk perbahasan yang sewajarnya dan perundingan yang bermakna mengenai Rang Undang-undang ini, agar persoalan-persoalan penting yang ditujukan oleh semua pihak dapat dijawab dan dijelaskan oleh Menteri Ekonomi. Ini adalah penting untuk memastikan hala tuju dan isi kandungan Rang Undang-Undang ini dapat dinilai dengan teliti oleh semua pihak.
Rang Undang-undang CCUS telah dibentangkan oleh Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi bin Ramli di Parlimen bagi bacaan kali pertama kelmarin, 4 Mac. Kami difahamkan bahawa bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang itu akan berlangsung hari ini, 5 Mac, dimana undian akan diadakan sama ada RUU itu diluluskan.
Walaupun terdapat banyak kebimbangan yang dibangkitkan oleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO), tiada sebarang perundingan awam mengenai keseluruhan Rang Undang-Undang CCUS ini. Hanya satu rundingan diadakan oleh Kementerian Ekonomi pada tahun lepas, dan ia terhad kepada rangka kerja Rang Undang-undang yang masih tidak jelas dan asas yang belum sempurna tanpa butiran lanjut.
Memandangkan kebimbangan yang amat kritikal telah dibangkitkan mengenai pelaksanaan CCUS yang bahaya dan mempunyai risiko yang tinggi, proses meluluskan Rang Undang-undang ini yang tergesa-gesa dan terburu-buru adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Rang Undang-undang yang dibentangkan kelmarin menimbulkan banyak persoalan-persoalan yang perlu dijelaskan/dijawab oleh Menteri Ekonomi. Ia hanya tertumpu terutamanya pada penubuhan agensi, penubuhan proses bagi pelesenan/permit dan juga penubuhan Kumpulan Wang Pengawasan Pasca-Penutupan.. Rang Undang-undang ini menyentuh isu kebocoran karbon dioksida (CO2) dan risikonya kepada alam sekitar, tetapi tidak memperuntukkan dengan secukupnya bagaimana perkara ini akan ditangani, termasuk isu siapa yang akan menanggung liabiliti bagi sebarang kemalangan yang akan berlaku, memandangkan jangka hayat gas CO2 yang dilepaskan adalah sekurang-kurangnya ratusan hingga 1000 tahun. Salah satu kekurangan dalam Rang Undang-undang yang dibentangkan adalah tiada peruntukan bagi penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci dan bagi penyertaan awam sebelum kelulusan.
SAM telah membuat kajian yang telah membangkitkan banyak persoalan-persoalan dan kebimbangan tentang CCUS, dimana kami telahpun kemukakan kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar. Antara risiko pemerangkapan karbon yang dibangkitkan termasuk:
i) Bahaya kepada Orang Awam dan Alam Sekitar
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesan toksik beberapa penyelesaian perubahan iklim yang dicadangkan menekankan bahawa proses pemerangkapan karbon ini menggunakan sejumlah besar bahan kimia dan boleh membebaskan ammonia yang sangat toksik dalam jumlah yang besar kepada komuniti sekitar. CO₂, dalam kepekatan yang tinggi, merupakan gas toksik dan asfiksia yang boleh menyebabkan ketidakcukupan peredaran darah, koma dan kematian. Terdapat juga risiko yang berkaitan dengan kebocoran di mana kebocoran kepada pembentukan geologi bersebelahan yang boleh menyebabkan tindak balas geokimia, termasuk rangsangan aktiviti seismik, dan pergerakan unsur seperti logam berat, yang boleh mencemari air minuman dan air bawah tanah.
ii) Integriti dan Kekekalan Karbon yang Dilupuskan
Terdapat juga kebimbangan besar mengenai integriti dan pelupusan kekal karbon. Kejadian kebocoran yang berlaku di tapak penyimpanan karbon di Illinois, Amerika Syarikat, pada September 2024 yang mengakibatkan 8,000 tan metrik CO₂ terlepas dari pembentukan batu bawah tanah (di mana ia sepatutnya disimpan) dan menjejaskan kawasan air bawah tanah sehingga ia melanggar peraturan air minuman selamat. Di lapangan minyak Cogdell di Texas, sejak ia memulakan suntikan CO₂ di bawah permukaan, lapan belas (18) gempa bumi dengan magnitud 3.0 ke atas telah berlaku di sekitarnya dalam tempoh lima tahun, dengan satu gempa hampir mencapai 5.0 magnitud. Kawasan itu tidak menghadapi gempa bumi dalam tempoh 20 tahun sebelum suntikan CO₂ di bawah permukaannya.
iii) Kegagalan Projek dan Risiko Pembatalan
Projek pemerangkapan karbon dianggap sebagai berisiko tinggi dan pulangan rendah, dengan projek yang lebih besar daripada 1 Mt CO₂ setahun berkemungkinan besar akan gagal dalam tempoh 10 tahun pertama. Akibat daripada risiko dan kadar kegagalan yang tinggi, adalah sukar untuk menarik pelaburan, yang menjadikan mereka sangat bergantung kepada pembiayaan awam.
Kritikan lain terhadap pemerangkapan karbon termasuk:
i) Janji berlebihan dan kurang berprestasi
Walaupun dengan janji yang bercita-cita tinggi untuk kadar pemerangkapan 90% oleh penyokongnya, kadar pemerangkapan purata global bagi projek pemerangkapan karbon adalah sekitar 49%, malah dengan kadar serendah 10%.
ii) Sangat mahal namun paling tidak berkesan
Menurut Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), apabila dibandingkan dengan penggunaan langkah mengurangkan perubahan iklim yang lebih terbukti seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar secara besar-besaran, pemerangkapan karbon adalah yang paling mahal, namun paling tidak berkesan dalam pengurangan CO₂. Pemerangkapan karbon dijangka mengurangkan hanya 1.1% pelepasan tahunan global semasa daripada proses pembakaran bahan api dan proses industri. Walaupun jumlah yang sedikit ini, adalah diunjurkan bahawa kebergantungan kepada pemerangkapan karbon untuk mencapai sasaran sifar bersih akan “sangat merosakkan ekonomi”, menelan perbelanjaan sekurang-kurangnya USD30 trilion (RM133.2 trilion) lebih tinggi daripada langkah-langkah mitigasi lain seperti tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan elektrifikasi.
iii) Tiada Bukti Pembelajaran Teknologi atau Pengurangan Kos yang Berkaitan
Walaupun lebih 40 tahun usaha dan pelaburan yang ketara dalam program penyelidikan dan pembangunan, teknologi pemerangkapan karbon masih tidak bertambah baik. Dengan erti lain, kosnya tidak berkurang sama sekali dan juga tiada bukti yang menunjukkan bahawa kos mungkin akan jatuh pada masa hadapan ke tahap yang membolehkan bagi pemerangkapan karbon menyumbang secara serius kepada pengurangan pelepasan. Sebaliknya, ia diramalkan bahawa pemerangkapan karbon akan menjadi lebih mahal.
iv) Modal, Tenaga dan Intensif Air, Berpotensi Memburukkan Kos Penjanaan Elektrik dan Pengangkutan
Menurut IPCC, kos pemerangkapan karbon memberikan cabaran utama, kekal lebih tinggi daripada USD50 (RM219.75) setiap tan CO₂ bagi kebanyakan teknologi dan wilayah, dengan kos modal kemudahan penjanaan elektrik arang batu atau gas dengan CCS hampir dua kali ganda berbanding kemudahan tanpa CCS. Penggunaan modal, tenaga dan air yang tinggi daripada pelaksanaan pemerangkapan karbon boleh membawa implikasi alam sekitar dan berpotensi menambah lagi kos pengeluaran elektrik, minyak dan gas, yang kemudiannya akan dipindahkan kepada pengguna atau ditanggung oleh kerajaan menggunakan wang pembayar cukai.
Kami percaya bahawa kebimbangan ini belum ditangani dengan sewajarnya oleh Kementerian Ekonomi, dan kelulusan Rang Undang-undang ini perlu dihentikan sehingga dan melainkan kebimbangan itu telah dipertimbangkan dan dijelaskan dengan secukupnya.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Siaran Akhbar, 5 Mac 2025

