HENTIKAN KENAIKAN HARGA SAYUR-SAYURAN DENGAN SEWENANG-WENANGNYA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera menurunkan harga sayur-sayuran yang meningkat sehingga 200% sejak dua minggu lalu.

Harga berikut yang disenaraikan di bawah memberikan harga perbandingan.

No Sayur-sayuran Harga Lama  (RM) Harga Baharu (RM) Peratus
1. Kubis Bunga 7.00 16.00 100%
2. Sawi Pendek (choy sum) 3.00 9.00 200%
3. Brokoli 8.00 20.00 150%
4. Sawi 5.00 8.00 60%
5. Kacang Buncis 8.00 15.00 88%
6. Kubis 4.00 6.00 50%
7. Cili Merah 13.00 19.00 46%
8. Cili Hijau 10.00 14.00 40%

 

Beberapa peruncit mengadu bahawa pengedar dan pemborong telah memberi amaran kepada mereka bahawa harga sayur-sayuran lain mungkin akan naik dalam beberapa minggu akan datang.

CAP menyeru Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyiasat kenaikan harga di atas memandangkan golongan berpendapatan rendah akan terjejas teruk dengan kenaikan harga barang dan tindakan keras terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Anti-Pencatutan 2010.

CAP juga telah berulang kali menyeru agar FAMA mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini tetapi seruan kami tidak didengari.

 

Kenyataan Akhbar, 23 November 2021