CAP GESA MASALAH PENCEROBOHAN BOT PUKAT TUNDA DITANGANI SEGERA

Jeti nelayan pantai Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di Pulau Betong, Balik Pulau di sini.

Aktiviti yang menjejaskan lebih kurang 200 nelayan pantai di kawasan tersebut sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.

CAP difahamkan, selain ancaman oleh bot-bot pukat tunda yang berpengkalan di Batu Maung dan Teluk Bahang menyebabkan sumber pendapatan mereka teruk terjejas, aktiviti nelayan dari Pulau Pangkor, Perak yang menggunakan lampu (spot light) berkuasa tinggi turut memberi kesan buruk ke atas hidupan laut di perairan ini.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP beritahu oleh nelayan pantai yang terlibat bahawa masalah itu telah menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot mencecah 50% setiap kali turun ke laut.

Pangkalan Bot Tunda Pukat Tunda di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Mereka mendakwa, bot pukat tunda dan nelayan dari Pulau Pangkor Perak kerap menjalankan aktiviti pada waktu malam. Banyak benih atau anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi mati dan musnah. Antara anak ikan yang menjadi mangsa ialah ikan kembung, bawal hitam, jenahak, tenggiri dan juga anak sotong.

CAP kesal dan bimbang dengan kejadian ini kerana ia gagal ditangani oleh pihak berkuasa berkenaan walau pun telah banyak aduan dibuat oleh nelayan terbabit sejak berpuluh tahun yang lalu. CAP meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyiasat mengapa perkara ini boleh berlaku sehingga sekarang.

Pelbagai jenis anak ikan mati dan musnah akibat penggunaan pukat tunda.

CAP percaya jika keadaan itu dibiarkan bukan saja kehidupan nelayan pantai di sini akan terjejas dengan lebih teruk lagi malah sumber perikanan negara mungkin mengalami kepupusan pada masa akan datang.

Sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60% anak ikan (benih) di samping mencemarkan laut dan memusnahkan tempat pembiakan ikan.

Demi menyelamatkan sumber bekalan makanan dan masa depan sektor perikanan, CAP berharap Jabatan Perikanan dan APMM menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan berkesan dan menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan pukat tunda dan lampu berkuasa tinggi (spot light) di negara ini dengan segera.

 

Kenyataan Media, 22 November 2021