Hentikan menghambur wang rakyat untuk memuaskan perokok

Kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada tuntutan perokok yang mendesak agar satu ruang disediakan untuk mereka merokok. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada golongan bukan perokok yang sama-sama membayar cukai pendapatan.

Perbelanjaan untuk membina zon merokok adalah bagi kemudahan 22.8 peratus penduduk yang merokok. Sementara golongan yang menyokong hak perokok menggesa agar hak mereka dihormati, mereka cuma berdiam diri mengenai hak bukan perokok yang terpaksa menghidu asap rokok yang beracun.

Kementerian Kesihatan menganggarkan kerajaan akan membelanjakan sekitar RM7.4 bilion bagi kos rawatan kesakitan utama yang berpunca daripada tabiat merokok menjelang 2025. Jumlah ini menghapuskan cukai tembakau yang dibayar oleh perokok, yang sebaliknya boleh dibelanjakan ke atas keperluan lain yang lebih berfaedah.

Dari perspektif yang lebih sempurna, kanser kolorektal merupakan kanser paling umum, diikuti oleh kanser paru-paru bagi kaum lelaki yang berusia 25 tahun ke atas.  Tidak hairanlah merokok didapati bertanggungjawab terhadap 80 – 90 peratus kes kanser paru-paru. Di antara 2012 – 2016, terdapat 11,256  kes kanser trakea, bronkus dan paru-paru yang berdaftar

Penyokong hak perokok dan industri tembakau hanya berdiam diri mengenai kos rawatan kanser, di mana banyak yang dikaitkan dengan merokok. Berikut adalah anggaran bagi rawatan sesetengah kanser pada 2018, tanpa mengambil kira upah untuk penjaga pesakit dan perbelanjaan lain:

· Kanser payudara: sehingga RM395,000

· Kanser kolorektal: sehingga RM85,000

· Kanser paru-paru (termasuk trakea dan bronkus): sehingga RM56,000

· Kanser limfoma: sehingga RM95,000

· Kanser nasofarinks: sehingga RM70,000

Sementara itu bagi hubungan di antara merokok dan penyakit yang dikaitkan dengannya serta kesannya terhadap kesihatan bukan perokok, terdapat  30 jilid Laporan Ketua Pakar Bedah AS dan bahan penerbitan mengenai merokok yang memuatkan puluhan ribu kajian semakan semula rakan dalam profesion yang sama yang diterbitkan sejak 1964.

Pada 1992, seorang aktor bertanya kepada eksekutif R.J. Reynolds kenapa beliau tidak merokok dan beliau menjawab secara sinis, “Kami tidak merokok benda kotor tu. Kami cuma menjualnya. Kami menyerahkannya kepada golongan muda, miskin, kaum kulit hitam dan mereka yang bodoh.”  Begitulah kata-kata yang keluar dari mulut wakil industri tembakau sendiri.

Pada 1998, seorang pengurus kedai di Kuala Lumpur membuat komen mengenai promosi Benson & Hedges bagi produk kopi keluaran baharu di bawah jenama rokok tersebut. “Sememangnya ini adalah bagi memastikan jenama Benson & Hedges diketengahkan. Kami mengiklankan Benson & Hedges Bistro di TV dan dalam akhbar. Tujuannya ialah untuk menjadi mesra perokok. Perokok mengaitkan kopi dengan rokok. Kedua-duanya merupakan sejenis dadah.”

Aktivis hak perokok dan penggubal dasar hak pro-perokok telah membuktikan tanggapan industri tembakau bahawa perokok bersikap bodoh adalah benar. Dianggarkan 14.6 peratus perokok di Malaysia menerima pendidikan kurang daripada pendidikan asas; 20.2 peratus, menerima pendidikan asas; 25.2%, pendidikan menengah rendah/tinggi; dan 14.3 peratus, menerima pendidikan di kolej dan lebih tinggi. Dalam kata lain, 34.8 peratus perokok tidak menghabiskan pendidikan asas mereka.

Justeru, kami menggesa Kerajaan tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk membina ruang bagi perokok. Perbelanjaan yang dikeluarkan semata-mata untuk memuaskan perokok adalah tidak wajar sama sekali.

 

Kenyataan Akhbar,10 Januari 2020