Sejauh manakah udang selamat untuk dimakan?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agak terkejut mendengar kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Sim Tze Tsin, bahawa udang yang diternak di negara ini selamat untuk dimakan.

Menerusi Facebook beliau berkata, “Jabatan Perikanan mempunyai sistem pemantauan yang ketat bagi semua ternakan udang di sini. “Pemeriksaan yang kerap dan penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan keselamatan makanan di Malaysia dan kualiti produk yang dieksport sentiasa terpelihara.”

Sim mengulas laporan akhbar The Star yang mendakwa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika (USFDA) telah menyenaraihitamkan beberapa pengeksport udang dari Malaysia berikutan penemuan antibiotik yang berlebihan, terutama nitrofuran dan chloramphenical, dalam sampel udang.

Bagaimanapun Sim berkata, kebanyakan syarikat yang disenaraikan oleh USFDA terlibat dalam penghantaran udang dari negara lain. Beliau menjelaskan laporan akhbar The Star itu memetik data USFDA dari 2009 – 2018.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu menyiasat kenapa nitrofuran dan chloramphenicol masih terdapat di sini sehingga 2018 memandangkan ia telah diharamkan.

Pada 2016, udang dari Malaysia di mana kebanyakannya dari kolam akuakultur di Pulau Pinang, juga telah ditolak oleh kerajaan AS selepas kedua-dua antibiotik tersebut dikesan di dalamnya.

Anehnya dalam tempoh setahun, kolam ternakan udang di negara ini telah bertukar dengan  menggunakan alternatif lebih selamat yang membolehkan udang itu dianggap selamat untuk dimakan.

Bahan kimia diketahui digunakan secara meluas dalam penternakan udang. Di antara bahan kimia yang digunakan termasuklah baja, ubat pembasmi kuman (disinfektan), bahan penggumpal, bahan ‘liming’ (meneutralkan keasidan tanah), bahan penambah dalam makanan ternakan (misalnya hormon steroid, probiotik, bahan penarik (feed attractants), vitamin dan antibiotik (misalnya sulfonamides, tetracyclines, quinolones, nitrofuran dan chloramphenicol). Penggunaan nitrofuran dan chloramphenicol di ladang dan kolam ternakan telah diharamkan di Malaysia.

Kebanyakan pengguna menyangka udang diperolehi dari laut – ia ditangkap oleh nelayan pukat tunda, dibawa ke pantai dan kemudian dibungkus untuk diedarkan ke restoran, pasar raya dan peruncit lain. Tetapi kebelakangan ini kebanyakan udang di pasaran adalah hasil ternakan kolam. Ramai pengguna yang tidak menyedari bahawa penternakan udang telah dikaitkan dengan kemusnahan paya bakau, pencemaran air, penternakan akuakultur secara haram dan amalan buruh yang tidak beretika.

Dalam satu tinjauan baru, CAP mendapati antibiotik digunakan secara rutin di kolam ternakan kerana udang mudah mendapat penyakit. Ada kalanya udang perlu ditangkap lebih awal untuk mengelak kerugian memandangkan ubat bagi merawat udang yang sakit tidak berkesan. Dalam keadaan ini pengguna  akan membeli udang yang sarat dengan sisa kimia kerana bahan kimia tersebut tidak akan hilang dalam masa yang singkat.

Menurut laporan, penternakan udang merupakan industri besar yang kebanyakannya terletak di pesisir pantai negara kita. Berikutan permintaan yang tinggi untuk udang yang diternak, industri itu telah berkembang maju dan penggunaan bahan kimia juga semakin bertambah.

Kolam termakan udang yang giat diusahakan seringkali ditinggalkan selepas 2 ke 10 tahun berikutan masalah alam sekitar akibat pengumpulan sisa, dan masalah kekurangan bekalan air bersih hingga menyebabkan penghasilan yang rendah dan kerugian dari sudut ekonomi.

Pencemaran penternakan udang memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Misalnya berbagai jenis racun makluk perosak digunakan untuk membunuh ikan dan siput sebelum kolam diisi, sementara bahan kimia lain ditambah kepada air kolam untuk mengawal bakteria, jangkitan kulat dan cacing berparasit. Racun makhluk perosak dan bahan kimia ini mengancam kesihatan dan alam sekitar.

Kesan bahan-bahan kimia ini pada persekitaran yang lebih luas masih belum diketahui memandangkan kegunaannya dalam penternakan udang  tidak dipantau dan tidak dikawal dengan baik. Sesetengah racun makhluk perosak yang digunakan dalam penternakan udang amat bertoksik kepada ikan dan organisma akuatik lain. Hal ini membimbangkan kerana sisa yang tidak dirawat dari kolam ternakan dibuang ke dalam air di sekitarnya.

Ia mengambil masa antara 3-6 bulan untuk menternak udang mengikut saiz pasaran, di mana ramai penternak memungut hasilnya 2-3 kali setahun. Sisa organik, bahan kimia dan antibiotik dari kolam ternakan ini boleh mencemari air bawah tanah dan muara pantai. Sisa bahan kimia dari kolam turut meresap ke dalam air bawah tanah dan tanah pertanian hingga menjejaskan bekalan air bersih dan menjadikan tanah tersebut tidak lagi sesuai untuk pertanian. Sektor akuakultur memusnahkan sistem hidrologi yang menyediakan asas bagi ekosistem tanah lembap.

Sebahagian bahan kimia yang digunakan dalam penternakan udang seperti sebatian organotin, tembaga dan sebatian lain dengan afiniti tinggi kepada sedimen meninggalkan sisa toksik yang kekal, dan cenderung mengakibatkan kesan buruk kepada alam sekitar dalam jangka panjang.

Kesan buruk selanjutnya terhadap organisma bukan sasaran mungkin berlaku disebabkan sesetengah racun makhluk perosak cenderung terkumpul dalam ikan dan invertebra marin, dengan itu mengancam organisma lebih atas dalam rantaian makanan termasuk manusia.

Penternakan udang telah menghalang nelayan kecil daripada sumber perairan pantai tradisional. Tambahan pula dengan hutan paya bakau dibersihkan bagi memberi ruang kepada kolam akuakultur,  hasil tangkapan ikan dan kerang-kerangan telah merosot.

Sehubungan dengan permintaan yang tinggi untuk udang  menjelang Tahun Baharu Cina, CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar menguji udang yang berada di pasaran untuk mengesan bahan kimia toksik di dalamnya.

Sementara itu CAP menasihatkan pengguna supaya berfikir dua kali sebelum memakan udang, iaitu mengenai antibiotik dan sisa kimia yang mungkin ada di dalamnya. Selain itu mereka juga perlu sedar bagaimana memakan udang boleh menjejaskan paya bakau dan nelayan kecil kehilangan sumber mata pencarian. Kemusnahan akan terhenti apabila kita berhenti memakannya.

 

Kenyataan Akhbar, 9hb Januari 2020