Hentikan Pembunuh Hidup Liar Di Jalan Raya

Peningkatan bilangan hidupan liar yang terbunuh di jalan raya di negara kita merupakan satu isu yang Sahabat Alam Malaysia (SAM) dapati amat sukar untuk tidak dipedulikan. Insiden terbaharu melibatkan dua ekor tapir yang melintasi jalan raya.

Kes pertama berlaku di  Terengganu di mana seekor tapir selepas dilanggar oleh kereta tersandung ke dalam hutan berdekatan dalam keadaan kecederaan. Hidupan liar yang cedera sering mengalami penderitaan sehingga membawa kepada kematian. Bagaimanapun, kemalangan kedua yang berlaku di Johor melibatkan seekor tapir menerima nasib malang apabila haiwan itu mati akibat kecederaan di bahagian kepala, kemungkinan akibat dilanggar oleh kenderaan.

Peningkatan bilangan kematian di jalan raya yang membimbangkan ini turut melibatkan bukan hanya hidupan liar sahaja tetapi juga haiwan domestik.

Dalam kemalangan jalan raya melibatkan kematian manusia, kes ini akan diberi perhatian, disiasat dengan tindakan susulan diambil. Tetapi dengan kematian hidupan liar tiada siasatan atau langkah keselamatan diambil bagi mencegah kejadian. Pemandu kenderaan lepas bebas memandangkan tiada pampasan perlu dibayar tidak kira sama ada haiwan itu spesies nadir atau terancam. Lebih malang lagi haiwan yang mati itu dipotong bahagian anggota badan untuk diambil oleh mereka kerana percaya dengan nilainya sebagai ubat perangsang.

Siapakah yang bersalah bagi kematian di jalan raya ini? Ketika memandu, kebanyakan pemandu tidak memikirkan kemungkinan haiwan yang bergerak perlahan seperti mamalia, amfibia dan reptilia. Kebanyakan yang terbunuh ialah biawak, ular, tenggiling, katak, monyet dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang tidak mempedulikan untuk mematuhi papan tanda yang menunjukkan haiwan mungkin melintas.

Pengembangan rangkaian jalan raya melalui habitat hidupan liar dan peningkatan jumlah lalu lintas mempercepatkan lagi kepupusan spesies. Ini merupakan salah satu penyebab utama pengurangan hidupan liar ditambah dengan penebangan hutan, pemusnahan habitat, pemusnahan tanah lembap, eksploitasi berlebihan dan pemburuan serta perdagangan hidupan liar.

Pembinaan jalan raya melalui habitat hidupan liar yang mengakibatkan fragmentasi hutan  seharusnya menjadi kebimbangan yang serius kepada negara kerana membuka lebih banyak jalan baharu yang memisahkan laluan perjalanan hidupan liar sejak dahulu kala. Untuk mengurangkan kematian di jalan raya pihak berkuasa telah membina jambatan eko atau jejambat jalan bawah dan jalan atas untuk membolehkan hidupan liar bergerak dari satu bahagian hutan yang difragmentasi ke satu bahagian lain. Tetapi persoalannya ialah sejauh manakah keberkesanan kemudahan ini bagi tujuan hidupan liar melintas dengan selamat.

Lintasan hidupan liar mungkin membantu untuk mengurangkan kesan kematian di jalan raya, tetapi bukannya penyelesaian untuk mengatasi kesan buruk jalan raya terhadap hidupan liar dan tidak seharusnya menjustifikasikan pembinaan jalan raya ke dalam kawasan habitat hidupan liar. Pilihan pertama ialah untuk mengelakkan pembinaan jalan raya melalui habitat hidupan liar.

Tiada apa-apa pun yang akan sepenuhnya membasmi kematian haiwan. Tetapi pihak berkuasa lebuh raya seharusnya menyedarkan orang ramai akan betapa besarnya tragedi kematian di jalan raya yang seharusnya dimasukkan ke dalam kursus pendidikan memandu. Pemandu mestilah digalakkan untuk berhati-hati kerana haiwan mungkin berada berdekatan atau di jalan raya. Melibatkan media melalui pengumuman di radio dan televisyen juga boleh membantu untuk mendidik pemandu.

Jika sebarang pembangunan jalan raya cenderung menyebabkan kesan kepada fauna asli, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) mestilah dijalankan dan nasihat mestilah diminta daripada pihak berkuasa hidupan liar.

Dengan perkembangan bilangan penduduk yang semakin meningkat dan memerlukan lebih banyak jalan raya dan perhubungan, perancangan proaktif dan strategik untuk mengurangkan kematian di jalan raya seharusnya menjadi tumpuan utama dalam sebarang perancangan masa depan projek jalan raya yang melibatkan habitat hidupan liar.

Strategi terbaik sudah tentulah untuk mengurangkan keperluan bagi membina jalan raya sepanjang habitat hidupan liar

Surat Kepada Pengarang  6 Oktober 2020