Hentikan segera Aktiviti Pembalakan di Bukit Kerawai  – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kedah mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan di Bukit Kerawai daerah Sik kerana ia mengancam sumber bekalan air masyarakat kegunaan penduduk-penduduk di kawasan itu.

CAP kesal dengan kejadian tersebut dan bersimpati dengan nasib 200 penduduk yang terlibat kerana terpaksa menggunakan air berlumpur dari kawasan pembalakan berkenaan. Kampung-kampung yang terlibat dengan masalah ini ialah Kampung Kerawai dan Kampung Tanah Liat.

Mengulas laporan akhbar tempatan kelmarin (Utusan Malaysia, 22 April 2020) CAP percaya jika aktiviti pembalakan ini berterusan keadaan yang lebih buruk mungkin berlaku kerana sekarang musim hujan.

CAP bimbang pencemaran sisa lumpur yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di sini bukan saja boleh menjejaskan kesihatan mereka tetapi juga akan turut mengancam sistem saliran dan kawasan pertanian seperti yang berlaku di Kupang daerah Baling.

Kejadian banjir lumpur dan kemusnahan harta benda penduduk boleh berlaku jika tindakan tegas dan segera tidak dilakukan oleh berkenaan.

CAP merasa hairan bagaimana pihak kerajaan boleh meluluskan kerja-kerja pembalakan di kawasan itu tanpa mengkaji kesan ke atas alam sekitar dan sosioekonomi penduduk tempatan.

Justeru itu CAP meminta Jabatan Hutan, Pejabat Daerah Sik, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjalankan siasatan terhadap masalah tersebut dan membantu penduduk-penduduk di sini mengatasi masalah yang mereka hadapi.

CAP menegaskan, penduduk terbabit berhak mendapatkan bekalan air bersih untuk menjamin kesihatan mereka serta dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang.

CAP akan menulis surat kepada Kerajaan Negeri Kedah meminta supaya masalah ini diberi perhatian serius dan berharap ia tidak berulang.

 

Kenyataan Media, 23 April 2021