Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal sikap pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Sungai Merbok dekat Sungai Petani, Kedah sebagai tempat membuang sampah.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati lebih 10 lokasi dikesan terdapat longgokan sampah yang sebahagian besarnya adalah bahan buangan plastik dan kertas.
Bahan buangan itu kelihatan bersepah di hutan bakau sepanjang sungai ini dan mendap di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, CAP menggesa Jabatan Perhutanan Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan Majlis Daerah Kuala Muda (MDKM) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.
CAP kesal walau pun kejadian tersebut sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak mendapat perhatian dari mana-mana pihak berwajib sehingga masalah pencemaran sampah sarap di sini menjadi semakin serius.
CAP percaya jika keadaan itu dibiarkan ia bukan saja boleh menjejaskan pertumbuhan pokok bakau di kawasan tersebut malah akan merebak dan mencemarkan Sungai Merbok serta mengancam mata pencarian nelayan tempatan.
Ikan, udang, ketam dan lain-lain hidupan yang terdapat di dalam sungai ini akan terganggu pembiakannya dan diancam kepupusan jika tindakan segera bagi menangani masalah ini tidak diambil.
Di samping menguatkuasakan undang-undang dengan tegas, CAP berharap pemantauan yang kerap dan berterusan dilakukan oleh Jabatan Hutan, JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar perbuatan membuang sampah di kawasan ini dapat ditangani dengan berkesan.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat, CAP bimbang HSK Paya Bakau di Sungai Merbok akan terjejas teruk dan mungkin mengalami kemusnahan berikutan masalah pencemaran sisa buangan yang semakin kerap melanda kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan.
CAP turut menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat perkara ini dan mendedahkan apakah puncanya serta tindakan yang diambil ke atas pihak yang terlibat.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 21 April 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/