
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong dan menyambut baik tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas ketegasan yang ditunjukkan terhadap pengusaha ladang babi yang tidak mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau dan sumber air tercemar.
Dilaporkan bahawa bermula Januari 2022, kerajaan negeri akan menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen. Langkah ini adalah paling berkesan bagi menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar dari ladang babi. Selain mencemar parit, sungai, laut serta persekitaran kawasan, operasi ladang babi yang melanggar peraturan telah menyebabkan kacauganggu kepada penduduk dan orang awam.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan Negeri YB Dr Norlela Arifin dilaporkan oleh Bernamapada 11 April 2022 menyatakan bahawa “antara kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh pengusaha ladang ialah kandang mestilah tertutup dan mempunyai pengurusan sisa kumbahan ladang”.

Tambah YB Dr Norlela Ariffin lagi, “ramai pengusaha yang tidak ambil peduli tentang syarat ini. Kita perlukan sungai yang bersih sekiranya kita bergantung kepada sumber air”.
Perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh pihakberkuasa berkenaan kerana apa yang dinyatakan oleh YB Dr Norlela adalah berasas berdasarkan hasil tinjauan SAM sebelum ini yang mendapati sebilangan operasi ladang ternakan babi sememangnya tidak mengikut piawaian serta syarat yang telah ditetapkan, dan dengan itu menyebabkan pencemaran.
Ada dalam kalangan pengusaha ladang babi dengan sewenang-wenangnya melepaskan sisa kumbahan yang tidak terawat ke dalam saliran sedia ada sehingga mengeluarkan bau yang sangat tidak menyenangkan.Masalah sebegini jelas berlaku dibeberapa buah kawasan titik panas (hot spot) antaranya Kampung Selamat, Gertak Sanggul, Valdor, Simpang Ampat dan Sungai Jawi.
Sepertimana satu kes yang tular baru-baru ini membabitkan pencemaran air dan bau busuk yang didakwa berpunca dari ladang babi di Gertak Sanggul, di mana pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga telah memberi respon terhadap perkara ini dan meminta pihak berkuasa negeri meneliti dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Justeru,pengumuman kerajaan negeri bahawa tindakan tegas akan diambil sangat bertepatan dengan situasi pencemaran yang berlaku dan kami menyokong tindakan tersebut demi kelestarian alam sekitar. Kami juga menggesa pihak-pihak berkuasa berkenaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertindak tegas terhadap penternak babi yang tidak mematuhi undang-undang.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia
Kenyataan Media, 17hb April 2022