Kerendahan hati adalah sifat yang digalakkan dalam kebanyakan budaya dunia. Confucius, seorang pemikir Cina abad ke-5 SM, salah seorang ahli falsafah terhebat di dunia, mengajar bahawa: “Kerendahan hati adalah asas yang kukuh bagi semua kebaikan.” Penyair dunia yang terkenal T.S. Eliot pernah berkata, “Satu-satunya kebijaksanaan yang boleh kita harapkan untuk memperolehinya adalah kebijaksanaan kerendahan hati.”
Apa yang diperlukan untuk menjadi seorang yang merendah diri? Kerendahan hati adalah tidak sombong, tidak angkuh, dan tidak mementingkan diri sendiri, dan mengakui terhadap batasan diri sendiri dan nilai orang lain. Kerendahan hati bukanlah meremehkan diri sendiri, ia kurang memikirkan diri sendiri.
Merendah diri bermakna mengakui bahawa kita tidak berada di bumi ini untuk melihat betapa pentingnya kita, tetapi untuk melihat betapa banyak perbezaan yang boleh kita lakukan dalam kehidupan orang lain. Kehidupan yang bermakna bukanlah menjadi kaya, popular, atau sempurna. Ia adalah mengenai menjadi diri yang sebenar, merendah diri, dapat berkongsi diri sendiri dan menyantuni kehidupan orang lain.
Orang yang paling merendah diri adalah sederhana dan mempunyai kesedaran diri, mereka menyedari bahawa mereka tidak tahu segala-galanya atau memahami segala-galanya. Mereka melihat bahawa pendapat mereka bukanlah yang “betul” atau satu-satunya cara untuk mempercayai. Mendengar orang lain dan menghormati idea mereka adalah komponen kerendahan hati yang sebenar.
Merendah diri boleh menjadikan kita orang yang lebih baik, memupuk empati, hubungan yang lebih kukuh dan kapasiti yang lebih besar bagi pembelajaran dan pertumbuhan. Kajian menunjukkan bahawa merendah diri memberikan manfaat kesihatan fizikal dan mental. Orang yang merendah diri cenderung mempunyai kebahagiaan yang lebih besar dan kepuasan hidup sementara juga mengalami kurang kemurungan dan kebimbangan.
Marilah kita sama-sama memupuk nilai kerendahan hati yang mulia dan mengubah hidup. Tidak kira apa pun kedudukan atau pencapaian anda dalam hidup, jangan lupa untuk tetap merendah diri. Alam semula jadi mempunyai banyak contoh yang mengajar mengenai perkara ini. Dahan yang paling banyak berbuah tunduk paling rendah.


