Jalan Tampal Bahayakan Pengguna – CAP

Salah satu lokasi di Bukit Gambir di mana terdapat jalan yang ditampal telah pecah dan membahayakan pengguna.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah jalan tampal yang boleh mengancam keselamatan para pengguna di negeri ini.

Tinjauan CAP mendapati jalan tampal di beberapa laluan utama seperti di Bukit Jambul, Bukit Gambir dan beberapa jalan lain tidak rata, berlubang, berbonggol dan pecah permukaannya.

Keadaan jalan tersebut amat merbahaya kepada penunggang motorsikal yang sering terlanggar tebing yang tidak rata, berlubang, pecah permukaannya dan berbonggol. Kemalangan boleh berlaku dengan kenderaan lain ketika mereka mahu mengelak daripada  masalah jalan seperti ini.

Sehubungan itu CAP berharap JKR dan MBPP memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan. Tindakan segera perlu diambil sebelum kejadian tidak diingini menimpa para pengguna yang saban hari melalui jalan terbabit.

Beginilah keadaan jalan yang ditampal di Bukit Jambul.

Keadaan permukaan jalan yang tidak rata akan merosakkan sistem penggantungan (suspension system) dan tayar kenderaan. Selain dari itu, ia juga amat membahayakan kepada penunggang-penunggang motosikal di mana lubang berkenaan mungkin tidak kelihatan pada waktu malam terutamanya pada waktu hujan lebat.

Siasatan terperinci dan pemantauan secara menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan jalan-jalan di negeri ini berada dalam keadaan selamat dan tidak mengancam keselamatan pengguna.

Keadaan jalan tampal yang terdapat di Balik Pulau

Manakala pihak kontraktor yang diberi kontrak untuk membina, mengekalkan, dan menyelenggarakan jalan perlu bertanggungjawab terhadapnya. Kejadian jalan berlubang yang berulang kali hanya menunjukkan kerja yang dijalankan adalah tidak bermutu. Kontraktor mestilah bertanggungjawab bagi menjalankan pemeriksaan lebih kerap terhadap semua jalan.

 

Kenyataan Akhbar, 21 Oktober 2021