MAVCOM PATUT DIKEKALKAN

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa kecewa dengan ulasan tidak berasas oleh Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Malaysia (4PAM) terhadap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Jumaat lepas.

Sebagai sebuah pertubuhan pengguna, kami telah menerima banyak aduan daripada pengguna berhubung syarikat penerbangan sejak beberapa tahun lalu membabitkan hal-hal seperti kehilangan bagasi, tidak diberikan pampasan, tidak dimaklumkan mengenai pertukaran jadual penerbangan dan pelbagai rungutan lain. Sejak MAVCOM diperkenalkan, kami melihat berlaku penurunan yang drastik dalam aduan mengenai syarikat penerbangan.

Kami percaya hal ini bukan sahaja disebabkan oleh kecekapan MAVCOM dalam mengendalikan aduan yang diterima malah akhirnya terdapat sebuah badan yang memantau syarikat penerbangan dan memberi perhatian kepada kebajikan penumpang.

Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) yang dibentuk oleh MAVCOM memberikan penjelasan yang secukupnya berhubung hak-hak penumpang dan tanggungjawab syarikat penerbangan.

Sementara itu pengenaan caj perkhidmatan cuma sebanyak RM1.00 yang dikenakan kepada penumpang yang berlepas dari lapangan terbang di Malaysia yang dikritik oleh 4PAM – kami percaya bayaran itu adalah wajar memandangkan MAVCOM tidak lagi dibiayai oleh kerajaan. Hakikatnya, pertubuhan, syarikat malah kerajaan sendiri memerlukan wang untuk beroperasi dan meneruskan operasi mereka.

Berhubung 4PAM mempersoalkan ketelusan MAVCOM, sejujurnya ia agak memalukan kerana semua data, kertas penyelidikan, laporan pengguna, laporan tahunan (yang mengandungi penyata kewangan suruhanjaya berkenaan) dan sebagainya terdapat di dalam laman sesawangnya. Tambahan pula, MAVCOM merupakan sebuah suruhanjaya yang memberikan laporan secara langsung kepada Parlimen yang menuntut ketelusan.

Kesimpulannya, kami tidak menemui sebarang kewajaran bagi serangan 4PAM terhadap sebuah suruhanjaya yang baik. Oleh itu kami ingin menegaskan bahawa MAVCOM patut dikekalkan demi kebajikan penumpang kapal terbang.

 

Kenyataan Akhbar, 28 Mei 2018