KEBENARAN MENGENAI CAWAN KERTAS: Tidak Mesra Alam Seperti Yang Anda Fikirkan

Cawan kertas pakai buang telah menjadi popular dalam masyarakat hari ini. Ia adalah pilihan utama kebanyakan syarikat minuman kerana ia dikatakan lebih mesra alam berbanding cawan plastik pakai buang. Selain itu, cawan kertas adalah lebih ringan, mudah dan senang diambil serta digunakan, dan kesan penebat habanya adalah lebih baik daripada cawan plastik apabila memegang air panas.

Kedua, kos pengeluaran cawan kertas dikatakan rendah, harga beliannya juga rendah, dan ia sesuai bagi pengguna daripada semua peringkat penggunaan. Faktor ini secara kolektif menjadikan cawan kertas sebagai pilihan popular bagi sesetengah syarikat dan penganjur acara. Walau bagaimanapun, adalah menjadi satu fakta yang kurang diketahui ialah cawan kertas sebenarnya mempunyai bahagian dalam yang berlamina dengan filem hidrofobik yang kebanyakannya diperbuat daripada plastik (polietilena) dan kadangkala kopolimer.

Satu kajian dijalankan oleh Institut Teknologi India Kharagpur di Bengal Barat, India untuk menilai kemerosotan filem cawan kertas yang terdedah kepada air panas (85-90°C). Ia mendapati bahawa filem itu membebaskan ion (fluorida, klorida, sulfat, nitrat), zarah mikroplastik, dan logam berat toksik (Pb, Cr, Cd) ke dalam air.

Mikroskopi pendarfluor mengesan kira-kira 25,000 zarah mikroplastik bersaiz mikron dalam 100 ml air dalam masa 15 minit, sementara pengimbasan mikroskopi elektron mendedahkan lebih 100 juta zarah submikron setiap ml. Analisis unsur menunjukkan pengurangan dalam kandungan karbon, hidrogen, dan nitrogen selepas pendedahan air. Penemuan itu mencadangkan potensi risiko kesihatan daripada menelan mikroplastik, ion, dan logam berat melalui minuman panas seperti teh dan kopi.

Mikroplastik dan bahan cemar berbahaya yang berkaitan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk diabetes, gangguan endokrin, masalah kardiovaskular, penyakit paru-paru, dan gangguan perkembangan dan pembiakan (Prata et al., 2020; Vethaak dan Legler, 2021).

Lapisan plastik dalam cawan kertas juga menimbulkan risiko alam sekitar. Selain daripada menelan mikroplastik, cawan kertas meninggalkan plastik nipis yang mencemarkan alam sekitar. Kebanyakan program kitar semula di seluruh dunia tidak boleh memproses cawan atau bekas bersalut plastik, menjadikan kira-kira 99.75% cawan kopi tidak boleh dikitar semula. Walaupun kertas biasa boleh dikompos, lapisan plastik menghalang pengkomposan dan berisiko mencemari kompos siap dengan mikroplastik dan bahan kimia toksik.

Terdapat juga permintaan yang berterusan dan semakin meningkat bagi cawan kertas yang memerlukan penebangan hutan selanjutnya. Cawan kertas sering dirawat dengan bahan kimia untuk menjadikannya kalis air atau tahan lama, dan bahan kimia ini boleh melarut resap ke dalam alam sekitar dan membahayakan hidupan liar.

Peralihan daripada plastik kepada cawan kertas bukanlah penyelesaian kepada penggunaan bahan yang semakin meningkat. Kita mestilah mengurangkan penggunaan bahan guna sekali.

Terdapat banyak cara untuk mengurangkan penggunaan cawan kertas. Perniagaan boleh menggalakkan penggunaan cawan boleh guna semula dengan menawarkan diskaun atau insentif kepada pelanggan yang membawa cawan mereka sendiri.

Sebagai alternatif, didapati bahawa melaksanakan caj pada cawan pakai buang adalah lebih berkesan daripada menawarkan diskaun untuk cawan boleh guna semula. Kajian oleh Universiti Cardiff mendapati bahawa caj meningkatkan penggunaan cawan boleh guna semula sebanyak 3.4%.

Akhirnya, pengguna boleh terus menikmati kopi atau teh setiap hari menggunakan cawan boleh guna semula. Demi untuk kesihatan kita dan planet ini, kita mestilah  mempertimbangkan bahan yang digunakan dalam cawan kertas. Cawan kertas tradisional membahayakan alam sekitar dan mendedahkan risiko kesihatan, kerana ia mungkin mengeluarkan mikroplastik dengan setiap kali menghirup. Oleh itu, pengguna sebaliknya perlu memilih untuk membawa cawan boleh guna semula mereka sendiri untuk mendapatkan minuman dari kedai.

RUJUKAN:

Ved Prakash Ranjan, Anuja Joseph, Sudha Goel. Microplastics and other harmful substances released from disposable paper cups into hot water. Journal of Hazardous Materials, Volume 404, Part B, 2021, 124118, ISSN 0304-3894. https://doi.org/10.1016/j.jhazmat.2020.124118

Anuja Joseph, Naseeba Parveen, Ved Prakash Ranjan, Sudha Goel. Drinking hot beverages from paper cups: Lifetime intake of microplastics. Chemosphere, Volume 317, 2023, 137844, ISSN 0045-6535. https://doi.org/10.1016/j.chemosphere.2023.137844

Poortinga W, Whitaker L. Promoting the Use of Reusable Coffee Cups through Environmental Messaging, the Provision of Alternatives and Financial Incentives. Sustainability. 2018; 10(3):873. https://doi.org/10.3390/su10030873