KEBERSIHAN PULAU SAYAK PERLU DIJAGA – CAP

Beginilah keadaan pantai di Kampung Hujung Pulau Sayak.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan masalah pencemaran sampah sarap yang berlaku di Pulau Sayak daerah Kuala Muda, Kedah ketika ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa Majlis Daerah Kuala Muda (MDKM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati keadaan ini bukan saja melibatkan tempat perkelahan di Kampung Hujung Pulau Sayak tetapi juga di tepi jalan utama di kampung berkenaan.

Bahan buangan terutama plastik berselerak di tepi jalan dan terdampar di kawasan pantai kampung berkenaan kerana dibuang oleh para pengunjung tempat ini.

Selain tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab membuang bahan buangan sesuka hati, ketiadaan kemudahan tong sampah antara punca-punca berlakunya masalah itu.

Sampah sarap bertaburan di tepi jalan di Pulau Sayak.

CAP kesal dan bimbang dengan kejadian tersebut kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang jika langkah segera tidak diambil ke atas punca berlakunya masalah itu.

Tempat ini mungkin menjadi sarang nyamuk dan tikus membiak jika sisa buangan di sini terbiar dan tidak dibersihkan serta boleh menjejaskan kesihatan orang ramai terutama penduduk tempatan.

Selain itu, bahan buangan tersebut juga boleh mencemarkan laut dan menjejaskan aktiviti tangkapan para nelayan pantai di kampung ini.

Bahan buangan terutama sisa plastik bersepah di kawasan orang awam berkelah.

Di samping siasatan dan tindakan segera yang perlu dilakukan oleh MDKM, pemantauan yang berterusan dan tindakan tegas wajar diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan mencemarkan alam sekitar di kawasan ini.

CAP juga meminta MDKM meletakkan papan tanda amaran ini di lokasi kejadian bagi mencegah perbuatan tidak bertanggungjawab dalam kalangan orang ramai berterusan.

 

Kenyataan Media, 14 Disember 2021