Kehidupan 2,000 penduduk Kupang terjejas angkara Projek Durian Musang King

Lebih 2,000 penduduk di tujuh buah kampung di Kupang daerah Baling, Kedah gelisah dan bimbang kerana sumber bekalan air masyarakat kegunaan mereka dicemari sisa lumpur dari kawasan projek durian musang king berhampiran.

Masalah yang serius berlaku sejak dua tahun yang lalu ini turut mencemarkan air sungai Kupang dan mengancam tanah sawah di kawasan berkenaan.

Antara kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Bok Bak, Iboi, Bukit Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Bendang Pecah dan Bendang Padang.

 

     

Air Sungai Kupang Keruh Dicemari Sisa Lumpur.          Beginilah keadaan Tanah Sawah Terbiar Tidak Dapat Diusahakan.

 

     

Pasir Dari Gunung Inas yang Mendap                         Tanah Sawah yang Terjejas di Kupang Baling Kedah.

di Sungai Kupang Baling Kedah.

 

Dalam tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati air sungai tersebut yang menjadi sumber utama bekalan air kegunaan penduduk di sini keruh dan terdapat sisa lumpur serta pasir mendap di dasarnya menyebabkan ia semakin cetek.

Penduduk-penduduk yang terlibat memberitahu CAP, ketika hujan keadaan bekalan air di rumah mereka begitu teruk tercemar dengan sisa lumpur dan terpaksa ditakung terlebih dahulu sebelum digunakan. Manakala untuk minuman ada kalangan penduduk di sini membeli air mineral.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut menyalurkan bekalan air paip kepada penduduk di sini tetapi bekalan tersebut kerap terputus dan tidak mencukupi untuk kegunaan harian mereka.

Selain pencemaran bekalan air penduduk, ramai pesawah di kawasan ini tidak dapat mengusahakan tanah sawah mereka kerana diancam sisa lumpur dan pasir dari kawasan projek itu. Tanah sawah di sini menjadi keras, tidak subur dan terbiar.

Berhubung masalah ini, CAP menggesa kerajaan Kedah, SADA, Pejabat Daerah Baling, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Pada Julai 2020, Menteri Besar Kedah Muhamad Sanusi Md Nor telah mengarahkan supaya projek durian musang king di Gunung Inas dihentikan namun hingga sekarang masalah yang berpunca dari projek berkenaan masih berterusan.

CAP amat bersimpati dengan penduduk-penduduk di sini dan merasa bimbang jika keadaan itu dibiarkan kesihatan dan sumber pendapatan mereka akan teruk terjejas pada masa akan datang.

CAP berpendapat tanah sawah yang terjejas wajar dipulihkan secepat mungkin dan pampasan yang setimpal perlu dibayar kepada pesawah-pesawah yang terlibat.

 

Kenyataan Akhbar, 15 April 2021