Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berhubung masalah bekalan air yang dihadapi penduduk negeri ini kerana mempersendakan cadangan CAP bagi mengatasi keadaan ini.
Tanpa memberi sebarang ulasan tentang gesaan CAP, beliau dengan angkuh menolak berkata, “Kita tahu buat kerja, tak perlu nak ajar”, yang telah dilaporkan oleh Malaysiakini pada 12 Julai 2016.
Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab terhadap masalah yang berlaku dan dihadapi oleh rakyat negeri ini beliau sepatutnya memberi penjelasan terhadap perkara-perkara yang dikemukakan oleh CAP.
CAP terkejut dan kecewa dengan tindakan dan sikap Menteri Besar ini kerana memperkecilkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara mewakili rakyat Kedah yang sudah sekian lama hidup menderita kerana masalah air.
Seorang pemimpin yang mentadbir suatu negeri seharusnya berpengetahuan dan memahami sesuatu isu, punca berlakunya masalah dan menanganinya dengan baik serta berkesan.
Apakah beliau tidak merasai seperti apa yang dirasakan oleh penduduk-penduduk yang terlibat dengan masalah itu sehingga terlupa bahawa CAP adalah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak pengguna dan alam sekitar di negara ini.
Kami menggesa pertimbangan serius diambil ke atas saranan kami dalam menangani isu air di negeri ini kerana air merupakan keperluan asas dan akan membawa kepada implikasi besar kepada rakyat dan alam sekitar sekiranya sumber air dan hutan tidak diurus dengan baik.
Justeru CAP meminta Ahmad Bashah secara terbuka memberi penjelasan terhadap perkara-perkara yang menjadi punca rungutan dan keluhan ribuan rakyat sejak berpuluh tahun lamanya.
CAP juga membantah keputusan kerajaan untuk membina telaga tiub dan empangan baharu di negeri ini. Tidak ada gunanya dan menjadi satu pembaziran jika telaga dan empangan tersebut bermasalah seperti sekarang kerana kawasan tadahan air tidak dilindungi serta tidak diurus dengan baik dan berkesan.
Perkara utama yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri Kedah sekarang ialah kemusnahan hutan akibat kegiatan pembalakan dan projek perladangan yang kian meluas. Hentikan aktiviti ini demi pengekalan sumber bekalan air yang berkualiti dan mencukupi untuk rakyat Kedah.
Saudara Pengarang, 14 Julai 2016