Kelaparan dan Kebuluran Global Telah Mencapai Tahap Krisis

Oleh Lawrence S. Wittner

Pentadbiran Trump telah berusaha untuk menghapuskan semua bentuk bantuan makanan Amerika Syarikat (AS).

Kebuluran merupakan satu cara kematian yang amat kejam dan mengerikan. Bermula dengan rasa lapar dan kesakitan yang hebat serta diikuti oleh keletihan dan kemerosotan mental, proses kebuluran berterusan apabila tubuh secara beransur-ansur menggunakan tisu-tisunya sendiri dalam kemerosotan fizikal yang akhirnya membawa kepada kematian.

Benteng utama dalam menangani kebuluran besar-besaran di seluruh dunia ialah Program Makanan Sedunia (WFP), yang menerima Hadiah Keamanan Nobel pada 2020 atas usaha kemanusiaannya yang penting. Memandangkan ratusan juta penduduk berdepan risiko akibat kemiskinan, kebuluran, konflik ganas, dan cuaca ekstrem, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini mengagihkan bantuan makanan dalam jumlah yang besar dan pada tahun lalu sahaja, bantuan ini menjangkau lebih 100 juta orang yang menghadapi kebuluran kritikal sekali gus menyelamatkan jutaan nyawa.

Namun, dengan bermulanya pentadbiran kedua Trump pada Januari 2025, WFP yang pada  2024 menerima hampir separuh daripada pembiayaannya daripada kerajaan AS telah memasuki satu tempoh krisis yang semakin meruncing sejak masa itu.

Pada hari pertama beliau memegang jawatan, Presiden Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang membekukan semua bantuan luar AS, dengan menyatakan bahawa “industri dan birokrasi bantuan luar tidak selari dengan kepentingan Amerika dan dalam banyak keadaan, bertentangan dengan nilai-nilai Amerika.” Tidak lama kemudian, operasi DOGE yang dikendalikan oleh jutawan Elon Musk telah menamatkan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), iaitu agensi yang menyediakan sebahagian besar bantuan kemanusiaan luar negara AS kepada negara-negara yang sangat miskin. Melabelkan USAID sebagai “organisasi jenayah,” Musk mengisytiharkan bahawa “sudah tiba masanya untuk ia ditamatkan.”

Bantuan makanan kecemasan, yang merupakan salah satu komponen bantuan luar AS, menjadi sasaran utama pentadbirannya. Pada April 2025, pentadbiran Trump menghentikan pembiayaan kepada WFP bagi program makanan di 14 buah negara yang paling miskin di dunia. Sebagai tindak balas terhadap tindakan itu, WFP memberi amaran bahawa “langkah ini boleh diibaratkan sebagai hukuman mati bagi jutaan penduduk yang berdepan dengan kebuluran dan kelaparan yang melampau.”

Susulan kritikan hebat orang ramai terhadap pengurangan itu, sebahagian daripada pemotongan bantuan makanan itu telah dipulihkan. Pada Jun 2025, pihak pentadbiran secara tiba-tiba memberikan geran sebanyak AS$800 juta kepada WFP. Walaupun langkah-langkah ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan makanan luar negara AS bagi 2025 mencecah kira-kira AS$2 bilion, sumbangan AS kepada WFP pada tahun terakhir pentadbiran Biden sebenarnya berjumlah AS$4.5 bilion.

Akibat perubahan dasar AS itu, WFP mengalami penurunan dana sebanyak 40 peratus sepanjang 2025.

Kesan daripada pemotongan kewangan itu amat mengerikan. Di Kenya, di mana pentadbiran Trump telah menghentikan serta-merta semua pembiayaan AS bagi operasi WFP,  tempat terletaknya kira-kira 720,000 pelarian yang merupakan antara golongan paling rentan di dunia. Walaupun pekerja bantuan dan pegawai tempatan AS berulang kali merayu agar bantuan makanan AS disambung semula, tiada sebarang bantuan diberikan. Hasilnya, menurut laporan kajian ProPublica, pelarian itu “mula kebuluran, dan ramai terutamanya kanak-kanak meninggal dunia kerana tubuh mereka yang kekurangan zat tidak mampu melawan jangkitan.” Dalam keadaan itu, “para ibu terpaksa memilih anak yang mana untuk diberi makan. Golongan lelaki muda turun ke jalanan untuk mengadakan protes, yang sebahagiannya bertukar menjadi rusuhan ganas. Wanita hamil yang mengalami anemia tahap kritikal pula begitu terdesak mendapatkan kalori sehingga mereka terpaksa memakan lumpur.”

Di tempat lain juga, keadaan menjadi semakin kritikal. Di banyak negara miskin yang mana pek khas pes makanan telah diagihkan kepada 9.3 juta kanak-kanak yang di ambang kebuluran, bekalan pek itu hampir lenyap sepenuhnya. Di satu wilayah di Nigeria sahaja, 150 buah klinik yang dikendalikan oleh WFPyang menyediakan rawatan pemakanan untuk 300,000 kanak-kanak di bawah umur dua tahun telah ditutup pada Julai 2025.

Tidak menghairankan, masalah ketidakjaminan makanan yang teruk meningkat dalam kalangan penduduk di seluruh dunia, termasuklah melibatkan anggaran 118 juta kanak-kanak.

Sementara itu, pentadbiran Trump mendesak agar pengurangan lanjut dilakukan terhadap bantuan makanan luar negara oleh AS. Cadangan belanjawan Trump bagi Tahun Fiskal 2026, yang dikemukakan pada Mei 2025, menggesa pemansuhan dua inisiatif AS yang telah lama wujud dan disalurkan sebahagiannya melalui WFP iaitu program Food for Peace dan program pemakanan kanak-kanak McGovern-Dole. Namun, akhirnya, penggubal undang-undang Parti Republikan yang mewakili kawasan pertanian telah menghalang langkah itu. Demi menjaga hati para petani dengan menyediakan pasaran bagi komoditi lebihan mereka yang diagihkan menerusi program-program berkenaan, mereka bekerjasama dengan pihak Demokrat untuk mengaktifkan semula kedua-dua program itu, walaupun dengan pengurangan pembiayaan sebanyak 23 peratus.

Walau bagaimanapun, pentadbiran Trump tetap bertekad untuk menghapuskan saki-baki program bantuan makanan luar negara kerajaan AS yang sedia ada. Pada April 2026, cadangan belanjawan bagi tahun fiskal 2027 pentadbiran itu menggesa penghapusan sepenuhnya program Food for Peace dan McGovern-Dole. Buat kali pertama sejak penubuhan Program Makanan Sedunia (WFP) pada 1961, tiada dana AS diperuntukkan untuk agensi PBB itu.

Sebaliknya, pada Ogos ini kemungkinan bagi mengalihkan perhatian daripada kritikan orang ramai dan meraih sokongan golongan penyokong agama Trump pentadbiran itu mengumumkan satu inisiatif baharu untuk pengagihan bantuan kemanusiaan luar negara di bawah kendalian pertubuhan-pertubuhan Kristian. Berbanding bantuan kemanusiaan kerajaan AS pada masa lalu (contohnya, AS$8 bilion pada 2024), jumlah dana ini sangat kecil: AS$2 bilion untuk tempoh lima tahun. Tambahan pula, walaupun program baharu itu nampaknya akan menyediakan sedikit bantuan makanan, jumlahnya tidaklah seberapa memandangkan hampir tiga suku daripada jumlah dana itu diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan.

Sudah tentu, akibat keruntuhan dasar bantuan makanan tradisional AS, masalah kelaparan dan kebuluran di peringkat global telah melonjak. Menurut WFP, “sejumlah besar 266 juta orang . . . berdepan dengan tahap kelaparan kritikal atau lebih teruk” pada 2026. Sementara itu, “kekurangan dana yang serius memaksa WFP mengurangkan bantuan,” dan “kehilangan nyawa . . . bakal menjadi harga yang perlu dibayar.”

Jelas sekali, satu hala tuju baharu diperlukan bagi mengelakkan penderitaan dan kematian manusia secara besar-besaran. Dalam masa terdekat, negara-negara kaya lain boleh tampil untuk menampung kekurangan dana yang ditinggalkan oleh pentadbiran Trump. Bagi jangka masa panjang pula, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensinya boleh diberikan sumber pendapatan bebas, sekali gus menamatkan pergantungan mereka terhadap kehendak sesebuah negara terutamanya negara yang dipimpin oleh individu yang terlalu kaya sehingga tidak mempunyai sebarang pemahaman mengenai kelaparan dan kesannya.

Walau bagaimanapun, selagi tiada tindakan pemulihan diambil, masalah kelaparan dan kebuluran dunia akan terus menjadi satu aib bagi kemanusiaan.

Lawrence S. Wittner ialah Profesor Emeritus Sejarah di SUNY/Albany dan penulis buku Confronting the Bomb (Stanford University Press).

Sumber: Other News (24 Ogos 2026)