Kemarau Jejas Pendapatan Petani Dan Bekalan Makanan Negara: CAP

Sistem saliran di kawasan MADA kering akibat kemarau.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), jabatan dan agensi berkaitan melakukan perancangan dan bertindak lebih awal bagi menghadapi kemarau pada masa akan datang.

Gesaan ini dibuat berikutan kejadian kemarau panjang yang melanda kawasan sawah di Kedah, Perlis dan Perak baru-baru ini menyebabkan berpuluh ribu hektar tanaman padi terjejas dan merosot melebihi 60% serta kerugian besar dialami oleh para petani yang terlibat. Perlis misalnya telah mengalami kerugian mencecah RM2.7 juta akibat kemarau yang melanda kawasan sawah di negeri itu.

Tinjauan CAP di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendapati tanah sawah kering kontang dan pokok padi mati kekeringan kerana para petani di sini mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air untuk tanaman padi mereka. Selain saliran MADA, sumber air dari sungai dan empangan Muda, Pedu dan Ahning juga berada pada paras yang rendah.

Justeru itu CAP meminta semua kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian serta agensi berkenaan mengekalkan kawasan tadahan air disamping membina sistem saliran yang berkesan dan menyediakan lebih banyak pam air untuk kegunaan petani mengairi sawah mereka ketika kemarau.

Tanah sawah kering kontang diancam kemarau.

Mengulas kenyataan Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh yang menyarankan supaya pesawah menggunakan kaedah tabur terus kering bagi memulakan musim tanaman padi 1/2026, CAP berpandangan ia wajar dikaji semula kerana boleh mengundang berbagai masalah seperti ancaman rumput, padi angin, serangga perosak, tikus, burung, cengkerik dan benih padi mati atau tidak tumbuh. Kaedah tabur terus tetap memerlukan air untuk benih padi bercambah.

CAP mencadangkan supaya musim menabur benih ditetapkan bukan pada musim kemarau bagi mengelak tanah sawah kering kontang dan benih padi mati. Bekalan benih padi dan baja perlu diedarkan kepada petani mengikut masa yang telah ditetapkan supaya kerja-kerja persawahan dapat dilakukan serentak oleh para petani serta mudah diuruskan oleh jabatan dan agensi berkenaan.

Benih padi tradisi dan cara penanaman tradisional wajar digunakan semula oleh para petani kerana ia mungkin sesuai dengan keadaan perubahan iklim sekarang serta mempunyai ketahanan ancaman penyakit dan makhluk perosak.

CAP bimbang dengan kesan kemarau yang berlaku sekarang kerana ia bukan saja menjejaskan sumber pendapatan petani tetapi juga bekalan beras dan makanan untuk rakyat di negara ini. CAP turut mencadangkan agar KPKM menyalurkan bantuan kepada petani-petani yang mengalami kerugian akibat kesan kemarau pada musim ini bagi meringankan beban mereka menanggung kehidupan keluarga.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 9 April 2026