Kementerian Kesihatan larang penjualan dua jenis produk rempah dari India

Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan untuk menghentikan penjualan dua produk rempah dari India yang disyaki mengandungi etilena oksida.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan untuk menghentikan penjualan dua produk rempah dari India yang disyaki mengandungi etilena oksida, bahan aktif dalam detergen.

“Mana-mana peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk ini diarah menghentikan penjualan produk berkaitan.

“Semua platform e-dagang dan media sosial diminta untuk menghentikan serta-merta iklan untuk produk makanan ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata pihaknya menyedari laporan media yang menggesa supaya dihentikan penjualan dua jenama rempah dari India itu kerana disyaki terdapat etilena oksida.

Oleh itu, berdasarkan semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) setakat April, ia berkata hanya terdapat satu import produk rempah Masala Kari Ikan Everest dan tiada import produk rempah Serbuk Kari MDH ke Malaysia.

Kementerian Kesihatan juga berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk seluruh negara melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQP).

Ia menambah bahawa pihak kementerian pada masa kini memantau kandungan aflatoksin, logam berat, dan sisa racun makhluk perosak dalam produk rempah di semua pintu masuk negara.

“Hasil pemantauan dari 2019 hingga April 2024 mendapati 43 sampel yang diambil mematuhi keperluan undang-undang di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.”

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya segera mengharamkan penjualan jenama rempah itu dari India.

(https://www.nst.com.my/news/nation/2024/05/1054776/cap-calls-halt-sale-2…)

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata produk kedua-dua jenama itu boleh didapati dengan meluas di Malaysia, terutamanya di platform e-dagang.

Beliau berkata rempah yang terjejas itu juga turut dieksport ke banyak wilayah, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Australia.

Menurut laporan daripada Reuters, Agensi Piawaian Makanan (FSA) United Kingdom telah melaksanakan langkah kawalan tambahan bagi sisa racun makhluk perosak dalam rempah yang diimport dari India, termasuk etilena oksida.

Etilena oksida sering digunakan untuk membunuh serangga perosak dan juga digunakan dalam rempah bagi mengawal pencemaran mikrobiologi yang disebabkan oleh bakteria, virus, dan kulat.

Tambahan pula, ia digunakan sebagai bahan aktif dalam agen pembersih di mana pada masa ini, penggunaannya dalam makanan dan bahan sentuhan makanan tidak dibenarkan kerana etilena oksida adalah karsinogenik.

Sumber: New Straits Times (28 May 2024)