Kenapa i-Sinar salah dan kenapa pencarum KWSP tidak seharusnya dilayan seperti ‘penyelamat’ 

Dilaporkan di dalam media bahawa pengeluaran i-Sinar daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan “kesan positif segera ke atas ekonomi sebenar kerana ia menyokong penggunaan domestik”. Ekonomi seharusnya dirangsang melalui pelaburan dalam bidang yang telah diabaikan seperti pertanian, penjagaan kesihatan, penjagaan orang tua dan tidak melalui penggunaan simpanan KWSP dalam penggunaan yang membazir.

Kami ingin menyatakan pendirian kami bahawa sejak i-Sinar dibenarkan untuk dikeluarkan oleh kerajaan, alasannya mestilah khusus: 1) untuk kelangsungan kehidupan pencarum KWSP ketika pemotongan gaji atau kehilangan kerja, 2) untuk memulakan perniagaan, dan 3) untuk membayar pinjaman bagi mengelakkan kadar faedah kompaun terkumpul.

Dilaporkan bahawa sehingga 14 Mac 2021, 5.94 juta pemohon skim i-Sinar diluluskan, melibatkan jumlah RM52.48 bilion. Angka ini amat membimbangkan kerana terdapat kira-kira 6.4 juta pencarum aktif KWSP, bermakna 93 peratus pencarum ini mengeluarkan simpanan mereka.

Bagaimanapun, seperti yang kita jangka, ramai rakyat Malaysia kekurangan celik kewangan dan disiplin yang menganggap wang daripada i-Sinar sebagai durian runtuh. Dengan wang itu mereka membeli kereta, berbelanja dengan membeli-belah (terutamanya bagi Hari Raya dan Ramadan yang akan datang tidak lama lagi), melabur dalam saham, emas dan mata wang kripto. Mereka ini mungkin tidak mempunyai sebarang simpanan lagi untuk diharapkan sekiranya meletus lagi wabak, apatah lagi apabila mereka bersara.

Pemohon i-Sinar tidak menghiraukan kenyataan bahawa:

  • Kereta susut nilai dengan segera dalam harga semasa pembelian tidak kira nilai kereta.
  • Saham amat berisiko kerana pasaran boleh menjadi tidak menentu dan berubah.
  • Bank Negara Malaysia (BNM) khususnya menyatakan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf sebagai sah dan memberi amaran kepada orang ramai akan risiko dikaitkan dengan penggunaan mata wang kripto itu.
  • Emas dianggap “pelaburan hasil yang sangat rendah kerana harganya tidak meningkat dengan cepat di bawah keadaan biasa”. Harga barang kemas emas termasuk caj buruh bergantung kepada rekabentuk barangan tetapi apabila ia dijual semula kepada tukang emas atau dibawa ke kedai pajak gadai, barangan itu hanya akan dinilai berdasarkan ketulenan kandungan emas. Oleh itu, apabila barang kemas emas dijual atau digadai, seseorang itu akan mengalami kerugian daripada caj buruh yang merupakan sebahagian besar daripada harga pembelian melainkan harga emas naik dengan ketara.
  • Berbelanja dengan membeli-belah menggunakan pengeluaran i-Sinar ini akan menjadi beban kewangan di kemudian hari kerana kebanyakannya, jika tidak semua pun, barangan pengguna mempunyai jangka hayat yang terbatas atau jangka hayat dan dengan nilai jualan semula yang rendah atau tiada langsung. Bagaimanapun, menurut laporan yang memetik Persatuan Peruncit Malaysia (Malaysia Retailers Association [MRA]), terdapat 80 peratus peningkatan dalan perniagaan di pusat membeli-belh berbanding sebelum pandemik.

Mereka yang membelanjakan dana persaraan mereka yang bersumberkan daripada i-Sinar mungkin tidak mempunyai sebarang simpanan untuk diharapkan jika berlaku lagi satu wabak, apatah lagi apabila mereka bersara. Lebih-lebih lagi, Malaysia masih jauh daripada menurunkan kadar jangkitan Covid-19 baharu kepada satu angka.

Realitinya, pandemik Covid-19 jauh daripada berakhir memandangkan India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Filipina mengalami gelombang jangkitan baharu selepas kejatuhan ketara dalam bilangan kes sejak beberapa bulan lepas. Eropah sedang mengalami Gelombang Ketiga baru-baru ini.

Malaysia dijangka mempunyai hampir 500,000 orang yang disuntik vaksin menjelang pertengahan April. Bagaimanapun, ini merupakan 2 peratus daripada anggaran 25 juta orang (80 peratus daripada jumlah penduduk) yang akan disuntik vaksin. Tidak diketahui bilakah akan mencapai “imuniti kelompok” yang dikehendaki memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyuarakan keprihatinan bahawa mewujudkan imuniti kelompok boleh menjadi sukar bagi negara membangun di rantau Asia Pasifik.

Wang dari i-Sinar tidak bermaksud untuk digunakan bagi menyelamatkan ekonomi domestik melalui perbelanjaan yang membazir tetapi untuk digunakan apabila mereka berara. Ketika masa mereka mempunyai sedikit atau tiada pendapatan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan harian mereka dan juga rawatan penyakit yang dikaitkan dengan usia tua.

CAP amat terkejut bahawa daripada Akaun 1 KWSP yang memegang 70 peratus daripada simpanan pencarum KWSP di mana mereka mengeluarkan wang sedangkan objektif utamanya ialah untuk simpanan hari tua. Selain itu, Akaun 2, merangkumi baki 30 peratus daripada caruman. Ia membenarkan pencarum untuk mengeluarkan bagi tujuan untuk membeli rumah, pendidikan, perubatan atau menunaikan Haji. Jika tidak, pencarum boleh membuat sebahagian atau pengeluaran penuh simpanan dalam Akaun 2 apabila mencapai usia 50 tahun. i-Sinar membenarkan pencarum untuk mempunyai akses kepada 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 selagi terdapat baki minimum RM100.

Mereka yang membuat pengeluaran daripada Akaun 1 tidak menghiraukan hakikat bahawa caruman KWSP masa depan mereka akan didepositkan sepenuhnya ke dalam Akaun 1 bukannya memisahkan 70:30 ke dalam Akaun 1 dan 2 masing-masing. Dalam perkataan lain, mereka ini akan mempunyai simpanan yang kurang dalam Akaun 2 yang akan memberikan kesan negatif ke atas pengeluaran mereka bagi mana-mana lima keperluan khusus itu.

Selain itu, Kerajaan tidak seharusnya menganggap pencarum KWSP sebagai ‘penyelamat’ yang menyelamatkan ekonomi domestik kerana mereka tanpa disengajakan akan menjadi kambing korban.

 

Kenyataan Akhbar,  8 April 2021