Tiga puluh empat kategori produk elektrik isi rumah dikawal oleh Suruhanjaya Tenaga dan oleh sebab itu ia menjadi satu mandatori bagi produk ini meletakkan label SIRIM. Bagaimanapun, daripada tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini, didapati peraturan itu tidak dikuatkuasakan dengan tegas.
Apabila sesuatu produk itu mempunyai label SIRIM ia bermakna produk itu telah diuji oleh makmal bertauliah dan didapati memenuhi syarat Standard Keselamatan Elektrik SIRIM dan selamat untuk menggunakan pada 240Volts, 50Hertz di bawah keadaan tempatan. Malah jika produk sudah pun disahkan dan memenuhi syarat standard keselamatan kebangsaan negara lain, ia masih perlu untuk memenuhi syarat Standard Malaysia kita sebelum ia boleh dipasang kepada bekalan utama kita.
Tinjauan oleh CAP mendapati banyak peralatan elektrik dan aksesori di kedai melanggar keperluan mandatori SIRIM. Pengguna seharusnya membeli hanya barangan elektrik yang diluluskan oleh SIRIM untuk memastikan kualiti, boleh dipercayai dan perlindungan daripada kejutan elektrik, kebakaran dan radiasi.
Tinjauan meliputi beberapa kedai di kawasan utara. Ia mendedahkan bahawa banyak peralatan elektrik domestik dan aksesori dijual tanpa pensijilan SIRIM yang sah. Terdapat tiga kategori yang tidak memenuhi syarat atau pelanggaran yang dapat diperhatikan:
- Produk yang tidak memenuhi syarat terhadap sebarang standard keselamatan, termasuk SIRIM. Aksesori elektrik, soket sambungan kuasa, seterika elektrik, pemanas air rendaman, lampu hiasan dan lampu perayaan krimas berada dalam kategori ini.
- Produk yang mempunyai pensijilan daripada standard keselamatan negara asing tetapi bukannya daripada SIRIM. Banyak audio-video dan peralatan dapur ditemui dengan status ini.
- Produk yang dipasang dengan satu atau dua komponen yang diluluskan SIRIM seperti kabel elektrik dan palam tetapi produk secara keseluruhan tidak mempunyai kelulusan SIRIM yang menjadi perkara biasa bagi soket sambungan kuasa, seterika, pengering rambut, dan pembakar roti.
Pengguna Malaysia perlu lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru apabila membeli barangan elektrik. Mereka perlu memahami bahawa apabila mereka membeli produk tanpa kelulusan SIRIM, produk itu mungkin tidak mempunyai kualiti dan kebolehpercayaan yang diharapkan. Lebih penting, produk seperti ini mungkin tidak menyediakan perlindungan yang perlu terhadap kejutan elektrik, kebakaran dan radiasi.
CAP menggesa Suruhanjaya Tenaga untuk memastikan pengeluar dan pengimport menggunakan label SIRIM yang tulen dan mereka mengikuti prosedur yang betul dalam melekatkannya pada produk. Jabatan Kastam juga perlu memastikan barangan yang diimport diisytiharkan di bawah kategori yang betul. Mereka yang didapati melanggar peraturan perlu dikenakan hukuman yang berat.
Kenyataan Akhbar, 13 April 2021