Kenyataan Media bersama yang diketuai oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Rangkaian Dunia Ketiga pada 31 Mei 2025 di Kuala Lumpur

Kumpulan pengguna, pesakit dan masyarakat sivil membantah keras caj baharu oleh pengamal perubatan am (GP) dan menggesa kerajaan untuk terus tegas dalam penguatkuasaan Perintah Paparan Harga Ubat di bawah Akta 723

Kami yang bertandatangan di bawah, terdiri daripada 40 organisasi dan 43 individu, menggesa YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk terus tegas menyokong pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mulai 1 Mei. Kami juga menggesa Perdana Menteri agar campur tangan dan menolak caj atau yuran baharu yang dikenakan oleh sesetengah pengamal perubatan am (GP) atas alasan pematuhan peraturan, pendaftaran, preskripsi ubat atau penggunaan kemudahan mereka, kerana caj-caj ini adalah tidak wajar, tidak munasabah, tidak berasas dan tidak adil serta akan menambah beban kewangan kepada banyak isi rumah.

Kami ingin menyuarakan bantahan keras serta rasa tidak bersetuju terhadap tindakan GP tersebut, yang kami anggap sebagai reaksi terhadap perintah paparan harga ubat yang baru diperkenalkan. Keengganan GP untuk menyokong ketelusan harga dengan segera tidak memberi imej yang baik kepada mereka di mata masyarakat. Tindakan mereka yang hanya mahu memaparkan harga ubat selepas pindaan dibuat terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) menunjukkan ketidakikhlasan dan seolah-olah dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaan perintah tersebut.

Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (Akta 723) adalah akta paling sesuai untuk mengawal selia pelabelan dan paparan harga barangan, dan ubat-ubatan tidak sepatutnya dikecualikan. Walaupun doktor memberikan preskripsi sebagai sebahagian daripada amalan profesional, penentuan harga ubat adalah keputusan perniagaan semata-mata. Ramai GP mengakui mereka bergantung kepada jualan ubat untuk menampung kos operasi klinik, dan ini membuktikan perkara tersebut.

GP sepatutnya memperoleh pendapatan utama melalui yuran profesional, seperti yuran rundingan, dan bukannya melalui jualan ubat. Kebergantungan klinik GP terhadap jualan ubat mewujudkan konflik kepentingan yang serius serta dorongan yang salah bagi sesetengah GP untuk memberikan preskripsi dan menjual ubat yang tidak diperlukan, sama ada untuk penggunaan “sekadar berjaga-jaga” atau dalam kuantiti yang lebih banyak daripada biasa. Ada juga GP yang menyembunyikan nama ubat dan membungkus semula ubat dengan harapan pesakit akan kembali ke klinik mereka untuk mendapatkan ubat, dan bukannya membeli dari farmasi komuniti. Tingkah laku ini boleh dianggap sebagai anti-persaingan dan merugikan kepentingan pesakit.

Seiring dengan perintah paparan harga ubat, kami juga menuntut agar semua kemudahan penjagaan kesihatan swasta menyediakan bil terperinci (itemised bill). Ini akan membolehkan pesakit atau pengguna mengetahui maklumat mengenai ubat yang dipreskripsi dan dibekalkan, termasuk harga seunit, supaya mereka tahu apa yang dibayar. Ketelusan dan pendedahan secara proaktif akan membolehkan pesakit membuat keputusan yang lebih bijak dan berinformasi.

Kami menyokong gesaan GP untuk menyemak semula jadual yuran dalam Akta 586 bagi menaikkan yuran rundingan selaras dengan kadar inflasi umum sejak 1992. Menurut Indeks Harga Pengguna (CPI), kadar inflasi bagi tempoh ini ialah 114%. Oleh itu, julat baharu bagi yuran rundingan GP sepatutnya adalah antara RM21.40 hingga RM75. Ini boleh dijadikan rujukan munasabah untuk kenaikan yang adil; sebarang penetapan yang menyimpang terlalu jauh — contohnya, cadangan yuran minimum RM50 — adalah berlebihan dan tidak selari dengan realiti kewangan isi rumah. Dalam menentukan julat yuran rundingan yang wajar, kami menggesa Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan untuk mengutamakan perlindungan kepentingan pengguna dan pesakit.

Kami turut bimbang terhadap pertambahan pesat klinik swasta di kawasan bandar Malaysia pasca era Covid-19. Dari 2021 hingga 2023, sebanyak 2,040 klinik baharu dibuka, dengan hampir dua klinik baharu setiap hari. Selangor dan Kuala Lumpur sahaja menyumbang 43% daripada keseluruhan klinik swasta, dan Selangor mencatat peningkatan sebanyak 32% dalam tempoh tiga tahun. Jika GP menghadapi kesukaran menjana keuntungan, ia berkemungkinan besar disebabkan persaingan pasaran yang sengit, manakala permintaan mungkin menurun akibat inflasi perubatan yang meningkat dan kesempitan kewangan dalam kalangan isi rumah. Adalah tidak wajar bagi GP menyelesaikan masalah persaingan ini dengan mengenakan lebih banyak yuran baharu ke atas pesakit.

Walaupun kerajaan tidak wajib menjamin keuntungan dan kelangsungan setiap klinik, kami menggesa kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak jawatan dan peluang untuk GP meningkatkan kemahiran serta menjadi pakar, kerana terdapat kekurangan sebenar pakar dalam sektor penjagaan kesihatan. Langkah ini juga boleh mengurangkan persaingan keterlaluan antara GP sedia ada di kawasan bandar.

Ditandatangan oleh:

Organisasi

1. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
2. Rangkaian Dunia Ketiga – Third World Network (TWN)
3. Persatuan Agora Malaysia
4. Aliran
5. Persatuan Tindakan Wanita – All Women’s Action Society (AWAM)
6. Always for People
7. Persatuan Sokongan dan Kebajikan Keluarga Selangor & KL (Family Frontiers)
8. Pusat Kewartawanan Bebas – Center for Independent Journalism (CIJ)
9. Inisiatif Kesihatan Warganegara – Citizens’ Health Initiative (CHI)
10. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Elections (Bersih)
11. Dialektika Tv
12. Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
13. Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)
14. Inisiatif Kesaksamaan Kesihatan – Health Equity Initiatives (HEI)
15. Johor Yellow Flame (JYF)
16. Belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor & Kuala Lumpur (KLSCAH Youth)
17. Persatuan Solidariti Buruh dan Sumber Pembelajaran – Labour Solidarity and Learning Resources Association (LLRC)
18. Kesatuan Kebangsaan Pelaut Semenanjung Malaysia
19. Inisiatif Utara Selatan – North South Initiative (NSI)
20. Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa Dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS)
21. Penang Forum
22. Pemantau Bukit Pulau Pinang – Penang Hills Watch
23. Perhubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS Malaysia)
24. ⁠Persatuan Hokkien Selangor & Kuala Lumpur
25. Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-Pengguna Pahang (ERA Pahang)
26. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
27. Persatuan Tarian Desa Selangor & Wilayah Persekutuan
28. Persatuan Wanita Maju Selangor & Kuala Lumpur
29. Pertubuhan Jaringan Kebajikan Komuniti (JEJAKA)
30. Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia)
31. Pusat Pembangunan Rakyat (MANDIRI)
32. Gabungan Advokasi Hak Reproduktif Malaysia -Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM)
33. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
34. Saya Anak Bangsa Malaysia [SABM]
35. Suara Anak Muda
36. Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA)
37. Together Against Cancer (TAC)
38. Treat Every Environment Special Sdn. Bhd. (TrEES)
39. Pertubuhan Pertolongan Wanita – Women’s Aid Organization (WAO)
40. Pusat Perubahan Wanita – Women’s Centre for Change (WCC)

Individu

1. Adrian Pereira, Pengarah Eksekutif, Inisiatif Utara-Selatan
2. Agnes James, Timbalan Pengerusi, Persatuan Penduduk Tanjung Bunga
3. Alice Tan Pei Pei
4. Andrew Pang, Usahawan Sosial/Pengasas Bersama
5. Annelies Allain
6. Atyrah Hanim Razali, Pengasas, Feminomik Malaysia
7. Aw Swee Lim
8. Catherine Choon
9. Datuk Nizam Mahshar, Pengerusi IDRIS
10. Dr. Geoffrey Williams
11. Dr. Ho Meilu, Profesor (Bersara)
12. Dr. Lim Chee Han, Penyelidik Dasar Kesihatan Awam dan Advokasi
13. Dr. Mazlan Bin Che Soh, Pensyarah Kanan
14. Dr. Sem Xiao Hui, Pakar Strategi Kesihatan Awam Global
15. Dr. Sharuna Verghis
16. Egha Elias, Pengurus Advokasi17. Evelyn Teh
18. Gopalan-K Papachan
19. Harmit Singh, Warga Prihatin
20. Ho Yock Lin, Presiden AWAM, Advokasi Kesaksamaan Gender
21. Jasmine Sum
22. Jayanath Appudurai, Pesara
23. Karina Yong, Penasihat Undang-undang dan Advokasi Kesihatan Awam
24. Kelvin Lee, Ketua, Pemuda KLSCAH
25. Kwan Shuk Yee
26. Leow E Ten, Eksekutif Operasi
27. Lim HuiYing, Penyelidik Parlimen kepada MP
28. Lim Swee Swee
29. Margaret Chin, Jurubank
30. Masjaliza Hamzah, Penyelaras Projek
31. Meenakshi Raman
32. Mohammad Shahrin Bin Mohamad Ilmi
33. Ng Jee Kwan, Presiden, Persatuan Alumni Imperial College di Malaysia
34. Patricia Nunis , Pengarah
35. Prof. P T Thomas, Dekan Eksekutif
36. Roslizawati Md Ali, Penjaga
37. Saiful Nizam bin Ab Wahab, Aktivis Rakyat & Pencipta Kandungan
38. Sarajun Hoda Abdul Hassan, Aktivis Sosial
39. Suguna Papachan, Guru
40. Tiow Ee Hsiang
41. Wan Azuan Bin Wan Ali, Pekerja Kesihatan Masyarakat
42. Wong Jia Woei
43. Yap Mei Shya