
Amat dikesali bahawa tiga orang anak Allahyarham S. M. Mohamed Idris telah mengeluarkan kenyataan yang bertujuan untuk mencemarkan nama baik CAP.
Sejak 1969, CAP telah berada di barisan hadapan dalam melindungi hak rakyat biasa, memastikan persekitaran yang sihat untuk semua orang, dan untuk membina masyarakat yang adil. Itulah legasi abadi allahyarham abang saya dan pengasas CAP. Majlis semalam, yang dihadiri oleh rakan-rakan lamanya, rakan-rakan seperjuangan dari masyarakat sivil, dan aktivis muda serta pelajar dari semua lapisan masyarakat, merupakan satu sambutan yang ikhlas terhadap legasi itu.
Ia menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang menyertai kami meraikan penerbitan buku penting ini. Kehadiran Perdana Menteri menekankan hubungan yang panjang dan intim yang terjalin dengan Allahyarham S. M. Mohamed Idris dan dengan CAP itu sendiri.
Oleh sebab itu, adalah amat mengecewakan apabila melihat pertubuhan yang dibinanya difitnah dengan secara tidak adil. Anak-anaknya mestilah memahami bahawa CAP adalah sebuah institusi dengan tadbir urus dan proses membuat keputusannya sendiri. Ia bukanlah, dan tidak pernah, menjadi aset peribadi atau keluarga.
Majlis CAP sebelum ini menerima, mendengar, dan membincangkan pandangan yang dinyatakan oleh ketiga-tiga anak-anaknya itu. Selepas pertimbangan yang teliti, pihak majlis memutuskan untuk meneruskan majlis yang penting ini. Kami percaya bahawa cara yang terbaik untuk memberikan penghormatan kepada S. M. Mohamed Idris adalah dengan memastikan kerja sepanjang hayatnya terus memberikan inspirasi kepada generasi baharu.
Setelah bekerja bersama abang saya selama lebih enam dekad, saya tahu beliau pasti berbangga melihat majlis seperti ini di mana begitu ramai anak muda bersemangat untuk komited kepada aktivisme sivik. Untuk menanyakan soalan-soalan sukar mengenai keberkesanan dasar, keterangkuman sosial, dan untuk mendorong model pembangunan yang berakar umbi dalam identiti dan kemanusiaan kita bersama.
Haji Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
16 Disember 2025

