Bertindak Sekarang untuk Menangani Masalah Kesihatan Awam ini yang semakin meningkat
Setiap tahun, dari 18 hingga 24 November, dunia menyambut Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia disebabkan oleh kehilangan antibiotik yang berkesan telah mengancam setiap aspek perubatan moden. Tema pada tahun ini, “Bertindak Sekarang: Lindungi Masa Kini, Selamatkan Masa Depan Kita”, mengingatkan kita bahawa kesedaran sahaja tidak mencukupi. Kita mestilah mengambil tindakan tegas.
Di seluruh dunia 1.27 juta orang mati setiap tahun secara langsung akibat daripada jangkitan kerintangan ubat, dengan hampir 5 juta kematian dikaitkan dengan kerintangan antimikrob (AMR). Jika trend semasa ini berterusan, pakar memberi amaran bahawa menjelang 2050, AMR boleh menyebabkan 10 juta kematian setiap tahun dan kerugian ekonomi sebanyak USD 100 trilion.
Di sebalik perangkaan ini terdapat kisah manusia iaitu pesakit yang melawan jangkitan yang tidak lagi bertindak balas terhadap rawatan, dan keluarga yang menderita ketika pihak hospital berjuang untuk mengatasinya.
AMR: Satu Cabaran Kesihatan
Kerintangan antimikrob bukan hanya isu klinikal. Ia adalah isu kesihatan bersepadu (One Health) yang berkait rapat dengan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Seperti yang dinyatakan oleh Profesor Devi Sridhar dalam The Guardian, peningkatan global dalam pengeluaran daging yang murah telah membawa kepada penggunaan antibiotik yang meluas dalam pertanian yang bukan sahaja untuk merawat penyakit tetapi untuk mencegahnya dan menggalakkan pembesaran haiwan yang lebih cepat.
Beliau menekankan bahawa: “Anggaran 73% daripada semua antimikrob yang dijual di seluruh dunia digunakan di dalam haiwan yang diternak untuk makanan.” Penggunaan yang berlebihan ini menyemarakkan lagi kerintangan bakteria yang merebak melalui daging, air, tanah dan merentasi sempadan. Seperti yang dikatakannya dengan tegas: “Cara daging babi dihasilkan di China mempengaruhi sama ada antibiotik anak anda berfungsi di Edinburgh. Sama ada seorang wanita di Lagos terselamat daripada pembedahan Caesarean yang dikaitkan dengan cara ayam diternak di Brazil.”
Itulah intipati One Health: sistem makanan kita, persekitaran kita, dan kesihatan kita tidak dapat dipisahkan. Oleh itu, pengawasan mestilah melangkaui hospital dan klinik termasuk ladang, perikanan dan alam sekitar.
Tanggungjawab Bersama dan Tindakan Kolektif
Kerintangan antimikrob merentasi sempadan, sektor dan pekerjaan. Tiada institusi atau negara boleh mengatasinya secara bersendirian kerana ia menuntut tindak balas bersatu yang berteraskan tanggungjawab bersama dan tindakan kolektif.
Semua pihak mempunyai peranan penting untuk dimainkan:
- Apabila doktor menetapkan antibiotik hanya apabila benar-benar perlu – itu adalah pengawasan.
- Apabila seorang jururawat mengekalkan amalan kawalan jangkitan yang ketat – itu adalah perlindungan.
- Apabila ahli farmasi mendidik pesakit mengenai penggunaan yang betul – itu adalah panduan.
- Apabila pemimpin hospital mengukuhkan program pengawasan – itu adalah kepimpinan.
- Dan apabila komuniti memahami bahawa antibiotik tidak menyembuhkan jangkitan virus – itu adalah pencegahan.
Setiap keputusan yang bertanggungjawab mengukuhkan lagi pertahanan kolektif kita terhadap kerintangan. Di peringkat kebangsaan, Malaysia mestilah terus melabur dalam pengawasan, penguatkuasaan, penyelidikan, dan pengurusan pertanian dan alam sekitar yang bertanggungjawab.
Pengawasan antimikrob bukanlah tugas segelintir orang sahaja kerana ia adalah tanggungjawab semua. Hanya melalui tindakan yang diselaraskan merentasi kesihatan manusia, kesihatan haiwan dan alam sekitar kita dapat mengekalkan kuasa ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa ini.
Bertindak Sekarang Terhadap Masalah Kesihatan Awam ini
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dan juga Third World Network (TWN), telah lama memperjuangkan penggunaan ubat-ubatan yang bertanggungjawab dan saksama. Sejak 1970-an, CAP telah meningkatkan kesedaran mengenai kerintangan antimikrob dan implikasinya terhadap kesihatan awam dan keselamatan makanan.
Tumpuan kami sentiasa tertumpu kepada memperkasakan pengguna, mengukuhkan akauntabiliti, dan memastikan akses saksama kepada ubat-ubatan yang berkesan. Kami terus menyokong bagi dasar yang lebih kukuh untuk mengawal selia penggunaan antibiotik, sistem pemantauan yang telus dan pendidikan awam yang menggalakkan pilihan termaklum dan bertanggungjawab.
Di atas segalanya, kami percaya bahawa akses kepada ubat-ubatan yang selamat, berkesan dan berpatutan adalah hak sejagat dan bukan keistimewaan.
Kita mestilah bertindak sekarang terhadap masalah kesihatan awam ini. Jika kita berlengah-lengah, jangkitan biasa sekali lagi boleh membawa maut, dan pembedahan rutin terlalu berbahaya untuk dilakukan. Tetapi jika kita bertindak tegas dengan melabur dalam pencegahan, pengawasan, penyelidikan dan pendidikan maka kita boleh melindungi ubat-ubatan berharga ini untuk generasi akan datang.
Marilah kita terus bekerjasama bersama dengan pihak berkuasa kesihatan, profesional, masyarakat sivil dan komuniti untuk memastikan kerintangan antimikrob tidak memusnahkan kemajuan perubatan selama beberapa dekad.
Bersama-sama, kita boleh mengekalkan kuasa antimikrob dan menjamin masa depan yang lebih sihat, lebih selamat untuk rakyat Pulau Pinang, untuk Malaysia, dan untuk dunia.
– Petikan ucapan Presiden CAP Mohideen Abdul Kader, bagi pihak Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Third World Network (TWN), pada majlis pelancaran sambutan “Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia (WAAW), JKNPP 2025” di Hospital Pulau Pinang pada 30 Oktober 2025

