Amat malang sekali apabila pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menganggap tiada salahnya untuk merampas hak pengguna jalan raya atas nama merayakan satu festival di Little India. MBPP perlu menanyakan dirinya sendiri sejauh mana perlu dan bermanfaatnya idea memasang kanopi di kedua-dua belah jalan raya kepada orang awam.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengulangi kenyataan bahawa ia tidak nampak sebarang kewajaran memasang kanopi hingga ke bahagian tengah jalan raya yang sudah sememangnya sempit, memandangkan kedai-kedai terbabit mempamerkan produk mereka dalam kawasan premis masing-masing. Seandainya pihak berkuasa mengharamkan pemasangan kanopi sudah pasti ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.
Tambahan pula, pengerusi gantian Jawatankuasa Trafik dan Infrastruktur MBPP, Nur Zarina Zakaria, juga sepatutnya menimbangkan hakikat bahawa sesetengah kanopi tersebut telah dipasang sejak dua atau tiga minggu yang lalu dan keadaan ini menimbulkan masalah selama sebulan kepada pejalan kaki dan pemilik kenderaan. Nampaknya pihak berkuasa tidak berfikir panjang kerana tindakan itu menghalang kelancaran pergerakan lalulintas dan pejalan kaki.
Pejalan kaki terpaksa berjalan di atas jalan raya memandangkan kaki lima telah dihalang oleh kanopi dan perabot beberapa buah kedai. Oleh kerana tidak dapat menggunakan kaki lima, pejalan kaki terpaksa berkongsi jalan-jalan sempit dengan kenderaan dalam apa jua cuaca. Little India ternyata tidak mesra pejalan kaki.
Little India bukanlah contoh yang boleh dibanggakan kerana ia bertentangan dengan konsep jalan yang mesra pejalan kaki seperti yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri.
Adakah pihak MBPP turut mengambil kira jika berlaku sesuatu kecemasan atau kebakaran? Bagaimanakah ambulan atau kereta bomba hendak masuk ke kawasan yang sempit itu? MBPP sepatutnya mengambil kira semua aspek keselamatan sebelum memberi keizinan kepada pemilik kedai di kawasan terbabit untuk memasang kanopi di situ.
Keadaan jalan raya bertambah sesak apabila pejalan kaki terpaksa berjalan antara kanopi dan kenderaan, yang bertambah teruk apabila lori atau van berhenti untuk mengisi atau memunggah barangan. Kenderaan lain terpaksa menunggu sehingga kenderaan komersial itu beredar dari situ.
CAP melihat keadaan tidaklah seburuk ini dalam beberapa tahun lalu. Kami berasa khuatir keputusan memberikan permit untuk memasang kanopi mungkin akan menjadi kebiasaan bagi festival lain di Malaysia.
Kenyataan Akhbar, 20 Oktober 2016