KICAUAN BURUNG BAIK UNTUK KESIHATAN MENTAL

Ahli akademik dari King College London mendapati mendengar kicauan burung, melihatnya dan pertemuan biasa dengan burung menambah baik mood mereka yang mengalami kemurungan dan populasi yang lebih meluas.

Kajian itu mengikuti kira-kira 1,300 orang sepanjang pertemuan mereka dengan burung pada setiap hari pada tahun lepas menggunakan aplikasi telefon pintar yang dipanggil Urban Mind. Mereka ini dari Britain, Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan China.

Menggunakan aplikasi itu, peserta kajian merekodkan bagaimana perasaan mereka, jika mereka stres atau gembira, jika mereka boleh melihat pokok, dan sama ada mereka boleh melihat atau mendengar kicauan burung.

Purata skor kesejahteraan mental meningkat apabila mereka melihat atau mendengar kicauan burung, malah bagi mereka yang sebelum ini didiagnosis dengan kemurungan, lapor Wed MD.

“Kita perlu mewujudkan dan menyokong alam sekitar, terutamanya alam sekitar bandar di mana kehidupan  burung adalah ciri tetap. Untuk mempunyai populasi burung yang sihat, anda juga perlukan tumbuhan, anda juga perlukan pokok. Kita perlu memupuk keseluruhan ekosistem dalam lingkungan kota kita,” kata Profesor Andrea Mechelli dari King College London dalam The Guardian.

Beliau berkata adalah amat penting untuk mempelajari bahawa burung mempunyai kesan positif terhadap mereka yang mengalami kemurungan, memandangkan banyak rawatan “yang membantu apa yang dipanggil ‘orang sihat’ tidak berkesan bagi individu dengan isu kesihatan mental”.

Adrian Thomas, Pengarang Royal Society for the Protection of Birds Guide to Birdsong, berkata laporan itu masuk akal, memandangkan orang ramai pada amnya melaporkan kicauan burung membawa perasaan gembira.

“Ia tertanam jauh di dalam jiwa kita,” katanya. “Ia dikaitkan dengan musim bunga dan pembaharuan dan masa baik yang akan datang… Kita perlu menangani krisis alam semula jadi dan memastikan bahawa alam semula jadi tidak berdiam diri.”

Kajian asal di sini:
https://www.nature.com/articles/s41598-022-20207-6