Adakah anda seorang penggemar kuah “banjir”? Tahukah anda, Malaysia merupakan antara negara di Asia Tenggara yang mempunyai peratus obesiti paling tinggi? Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, seramai 33.7% rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mempunyai masalah obesiti atau jisim indeks badan (BMI) 27.5kg/m2 dan ke atas.
Anda perlu tahu bahawa hidangan yang diambil bersama kuah “banjir” merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kegemukan atau obesiti. Ini kerana kuah, terutamanya yang bersantan dan berminyak, bukan sahaja tinggi dengan lemak tetapi juga tinggi dengan garam dan kalori.
1 sudu makan kuah bersantan mengandungi 50 kalori. Jadi, cuba anda bayangkan berapa kalori yang terdapat dalam satu hidangan bersama kuah yang “banjir”. Tidak salah untuk makan makanan bersama kuah, tetapi pastikan anda mengambil kuah dalam kuantiti yang sederhana dan tidak “banjir”. Semakin kurang kuah yang diambil, semakin bagus.
~ Pusat Maklumat Pemakanan Negeri Kelantan
Sumber: Nutritionist KKM