
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak Kerajaan Negeri Kedah, Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB), Pejabat Tanah Dan Galian (PTG), Pejabat Daerah Dan Bandar Baharu, Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah supaya mengkaji dan meneliti semula aktiviti kuari yang sedang beroperasi di Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir, Daerah Bandar Baharu, Kedah.

Aktiviti kuari yang beroperasi di kawasan terbabit telah menimbulkan kebimbangan kepada sebilangan besar penduduk-penduduk di sekitar kawasan tersebut kerana terpaksa berhadapan dengan beberapa masalah sehingga menyebabkan kawasan penempatan mereka mengalami pelbagai insiden. Antaranya terdapat keretakan pada dinding rumah, jalan berhabuk selain terkesan dengan bunyi mesin penghancur batu yang didakwa menjalankan aktiviti sehingga lewat malam dan beberapa perkara lain yang menyebabkan penduduk rasa kurang senang.

Disamping itu, lori-lori yang keluar masuk dari tapak operasi kuari juga merupakan faktor lain yang menggugat ketenteraman penduduk kerana ada ketikanya menyebabkan jalan berhabuk dan debu berterbangan. Lebih merisaukan ialah penduduk turut mendakwa adakalanya pemandu-pemandu lori seolah tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Penduduk mendakwa bahawa lori dipandu laju dan pemandu tidak mengikut had kelajuan yang dibenarkan terutama di kawasan penempatan penduduk dan kawasan persekolahan. Oleh itu kami menyeru agar pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memainkan peranan dalam hal ini dan membuat rondaan ke kawasan berkenaan bagi memastikan perkara ini dibendung.
Wakil penduduk Kampung Padang memaklumkan kepada SAM bahawa mereka telah beberapa kali membuat aduan dan bantahan di Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu, namun tiada tindakan berkesan diambil atau ditangani oleh pihak berkenaan. Aduan tersebut juga turut disampaikan kepada pihak SAM dan SAM telah menghantar beberapa surat kepada pihak-pihak berkenaan. Bagaimanapun apa yang mengecewakan ialah pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu langsung tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung persoalan yang kami bangkitkan.
Banyak perkara yang masih belum jelas terhadap isu kuari di situ, antaranya status kuari batu. Pada asalnya, kesemua kuari yang beroperasi di kawasan Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir merupakan kuari tanah merah. Walau bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini salah satu dari kuari tersebut telah bertukar status kepada kuari batu. Perkara ini perlu dijelaskan oleh pihak Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tanpa menuding jari kepada pihak-pihak yang lain.

Walaupun kami dimaklumkan terdapat beberapa pasukan pihak bekuasa telah datang meninjau ke lokasi tetapi keadaan hanya terkawal untuk seketika sahaja. Selepas beberapa minggu kemudian, aktiviti yang sama berulang kembali. Jadi persoalannya ialah adakah siasatan telah dilakukan dan apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berkenaan terhadap pengusaha kuari tersebut sekiranya didapati melanggar syarat dan peraturan? Apakah tindakan susulan dan pemantauan yang dilaksanakan untuk memastikan pematuhan syarat lesen dan menyelesaikan masalah kacau-ganggu, pencemaran dan ancaman keselamatan yang dilaporkan oleh penduduk?
Masalah lain yang turut memberi kesan kepada penduduk sekitar ialah melibatkan kuari tanah merah yang terdapat di jalan atas Bukit 300 kaki Serdang, Bandar Baharu. SAM difahamkan bahawa kuari tersebut juga memudaratkan penduduk yang berada di bawah kerana bila hujan lebat air dari kolam takungan kuari terbabit melimpah hingga menyebabkan kawasan penempatan mengalami banjir lumpur terutamanya bagi penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai. Aduan juga telah beberapa kali dibuat oleh penduduk terhadap perkara ini namun tiada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.
SAM khuatir jika perkara ini tidak ditangani dengan sewajarnya, risiko bahaya terhadap keselamatan penduduk dan orang ramai akan terancam selain daripada kesan buruk kepada alam sekitar. Aspek keselamatan serta keberkesanan dalam penguatkuasaan dari pihak-pihak tertentu juga dipersoalkan.
Sehubungan dengan ini SAM menggesa agar pihak Kerajaan Negeri Kedah dan pihak berkuasa berkenaan memandang serius terhadap perkara ini. Jika pengusaha kuari didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan maka perlu diambil tindakan yang sewajarnya tanpa sebarang kompromi termasuklah penggantungan permit kerana isu-isu yang dibangkitkan adalah membahayakan keselamatan dan ketenteraman orang ramai.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Kenyataan Media, 31 Julai 2024

