Persatuan
Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan agar menguatkuasakan dengan tegas Akta Racun 1952 berikutan penemuan racun terkawal dalam makanan.
Baru-baru ini Kementerian Kesihatan mendapati 21 produk makanan dan minuman, antaranya minuman kesihatan, kandi dan kopi pracampuran mengandungi racun terkawal seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone.
Sildenafil adalah bahan/agen aktif dalam Viagra sementara tadanafil dijenamakan sebagai Cialis. Dexamethasone dan prednisolone adalah steroid.
Sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone kesemuanya merupakan ubatan terkawal dan hanya boleh dibeli melalui preskripsi doktor. Persoalannya bagaimanakah racun tersebut boleh sampai ke tangan pengeluar makanan?
Pada masa lalu terdapat banyak kes yang melaporkan tentang mereka yang jatuh sakit atau maut selepas meminum kopi yang dicampur ubatan.
Pada 2014, seorang lelaki berusia 36 tahun mati selepas meminum kopi “tradisional” kesukaannya yang turut mengandungi sildenafil iaitu perangsang seks. Produk yang mengandungi campuran sildenafil dan kafein pada paras yang tinggi boleh menaikkan tekanan darah dan jika tidak diawasi, boleh membawa maut. Sungguhpun kopi itu telah diharamkan oleh pihak berkuasa namun ia masih dijual.
Isu ubatan dalam makanan bukanlah suatu perkara baharu. Semenjak 2008 CAP telah mengetengahkan isu ini kepada Kementeran Kesihatan. Dalam satu tinjauan, kami menemui sejumlah jenama kopi campuran yang berbeza yang didakwa mengandungi ramuan tradisional seperti Tongkat Ali atau Kacip Fatimah. Jenama sesetengah campuran kopi kelihatan seolah-olah memberi gambaran yang produk itu mampu meningkatkan tenaga seks kaum lelaki.
Dari semasa ke semasa kita mendengar Kementerian Kesihatan merampas makanan dan suplemen yang mengandungi ubatan terkawal. Sungguhpun pihak berkuasa telah mengharamkan produk yang didapati mengandungi ubatan, produk seumpamanya masih beredar di pasaran di bawah jenama yang berbeza.
Kementerian Kesihatan perlu menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana pengeluar produk haram berkenaan mendapatkan bekalan ubatan terkawal untuk produk mereka. Jika siasatan tidak dijalankan, tiada serbuan dan rampasan yang boleh menghentikan produk berbahaya dari beredar di pasaran.
Sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan memandang serius situasi sekarang dan membanterasnya hingga ke akar umbi dengan menguatkuasakan degan tegas Akta Racun 1952.
Surat kepada Pengarang, 18hb November 2020
