Kumpulan Masyarakat Sivil Kesal Penjualan Plaster Ubat Mengandungi Paras Plumbum dan Merkuri yang Tinggi yang telah Diharamkan

Menurut pemeriksaan bahan kimia yang dijalankan oleh Ecowaste Coalition, Chang-Sze-Long Badu Gao mengandungi paras toksik plumbum dan merkuri yang berlebihan.

7 Oktober 2025: Pulau Pinang, Malaysia/Quezon City, Filipina.  Kumpulan masyarakat sivil Malaysia dan Filipina yang memperjuangkan kesihatan pengguna dan kesejahteraan alam sekitar mengesali penjualan dalam talian plaster kulit tradisional Cina untuk melegakan bengkak dan kesakitan yang telah dianalisis didapati mengandungi paras logam berat yang tinggi seperti plumbum dan merkuri.

Dalam kenyataan akhbar bersama, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan EcoWaste Coalition menyelar penjualan Chang-Sze-Long Badu Gao yang masih diteruskan walaupun Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membatalkan pendaftarannya kerana mengandungi paras merkuri melebihi “had yang dibenarkan.”

“Produk ini telah ditarik balik dari pasaran dan pendaftaran produk itu telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual atau diedarkan di Malaysia,” NPRA mengumumkan melalui kenyataan akhbar pada 12 Ogos 2025 lalu.

“Penjual dan pengedar produk ini dikehendaki menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta,” kata NPRA, sambil memberi amaran kepada individu dan syarikat yang melakukan kesalahan denda dan penalti yang tinggi di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Pengguna perlu berhati-hati apabila membeli produk kesihatan, sama ada dalam talian atau di kedai,” kata Mohideen Abdul Kader, Presiden CAP. “Pengguna perluawas kerana sesetengah produk kesihatan ini mungkin mengandungi bahan mujarab yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Pada masa lalu, kami juga pernah menemui produk tiruan dan bermutu rendah yang dijual dalam talian, bukan sahaja di negara ini tetapi di rantau Asia Tenggara. Pengguna dan platform dalam talian perlu mengesahkan pendaftaran produk dan memastikan ia tidak dinyahsenarai.”

“Walaupun diharamkan, kami berjaya membeli Chang-Sze-Long Badu Gao daripada penjual dalam talian yang berpangkalan di Malaysia melalui Shopee Filipina,” kata Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan, EcoWaste Coalition. “Ini menekankan keperluan untuk mengukuhkan langkah pengawasan dan penguatkuasaan, serta kerjasama dua hala dan pelbagai hala, untuk menghentikan penggunaan tapak e-dagang bagi menjual produk berbahaya seperti yang tercemar dengan bahan kimia berbahaya.”

Ingin tahu berapa banyak merkuri yang terkandung di dalamnya, kumpulan itu menguji plaster kulit dengan menggunakan peranti analisis X-Ray Fluorescence (XRF) Olympus Vanta M Series, yang mengesan paras tinggi bukan sahaja merkuri tetapi juga plumbum yang diukur pada 486 bahagian per sejuta (bps) dan lebih 100,000 bps, masing-masing.

Plaster kulit tradisional Cina ini telah diharamkan oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia kerana mengandungi merkuri.

Merkuri dan plumbum adalah antara 10 bahan kimia atau kumpulan bahan kimia yang menjadi kebimbangan kesihatan awam utama menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pendedahan kepada merkuri walaupun dalam jumlah yang kecilboleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius, dan merupakan ancaman kepada perkembangan kanak-kanak dalam rahim dan awal kehidupan,” kata WHO sambil memberi amaran “merkuri mungkin mempunyai kesan toksik pada saraf, pencernaan dan sistem imun, dan pada paru-paru, buah pinggang, kulit dan mata.”

Menurut WHO, “pendedahan kepada plumbum boleh menjejaskan pelbagai sistem tubuh dan amat berbahaya kepada kanak-kanak kecil dan wanita dalam usia mengandung,”dan menegaskan “tidak ada tahap pendedahan kepada plumbum yang diketahui tanpa kesan berbahaya.”

“Kanak-kanak kecil terutamanya amat terdedah kepada kesan toksik plumbum dan boleh mengalami kesan buruk kesihatan yang kekal, terutamanya kepada perkembangan sistem saraf pusat,” kata WHO.

“Plumbum menyebabkan kemudaratan jangka panjang pada orang dewasa, termasuk peningkatan risiko tekanan darah tinggi, masalah kardiovaskular dan kerosakan buah pinggang,” kata WHO lagi “pendedahan plumbum semasa kehamilan boleh menyebabkan pertumbuhan janin terbantut dan kelahiran pramatang.”

Untuk melindungi pengguna daripada terdedah kepada merkuri dan plumbum, CAP dan EcoWaste Coalition menggesa pihak pengurusan tapak beli-belah dalam talian untuk menghapuskan penyenaraian produk bagi Chang-Sze-Long Badu Gao yang dilarang dan bagi pengawal selia kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap pengedar dan penjual yang tidak patuh.

CAP dan EcoWaste Coalition adalah organisasi yang mengambil bahagian dalam International Pollutants Elimination Network (IPEN), rangkaian global kumpulan berkepentingan awam yang meningkatkan kesedaran awam dan menyokong dasar kimia yang lebih baik bagi memastikan bahan berbahaya tidak lagi dihasilkan, digunakan atau dilupuskan dengan cara yang membahayakan kesihatan manusia dan alam sekitar.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Aileen Lucero
Penyelaras
EcoWaste Coalition

Siaran Akhbar

 

Rujukan:

https://www.npra.gov.my/easyarticles/images/users/1277/SM-PRODUK-Chang-Sze-Long-Badu-Gao-2025-Ogos-12082025—final.pdf

https://shopee.ph/CHANG-SZE-LONG-BADU-GAO-5s-i.1257805563.40464909063?sp_atk=162e3c44-7398-46ab-ac26-327dbd43cfc1&xptdk=162e3c44-7398-46ab-ac26-327dbd43cfc1

https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/mercury-and-health

https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/lead-poisoning-and-health