Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan yang baharu ditubuhkan untuk meneruskan pelaksanaan Generasi Penamat (GEG) secepat mungkin, dan mengharamkan sistem penyampaian nikotin elektronik (ENDS) sepenuhnya. Ini kerana membenarkan penggunaan ENDS akan menimbulkan masalah besar berkaitan penagihan dadah untuk generasi akan datang.
Pada November 2019, CAP memberi amaran secara jelas bahawa “vape perlu diharamkan – tidak dikawal – kerana adalah mustahil untuk memantau beratus-ratus jenama e-cecair yang sah dan haram di pasaran”. Kami juga memberi alasan bahawa ia “tidak akan dapat mengesahkan komposisi e-cecair itu selain pelaksanaannya amat memerihkan dan mahal”.
Pada awal November, pihak polis dari Bukit Aman mengesahkan bahawa apa yang paling menakutkan mereka ialah e-cecair yang dicampur dengan dadah dijual secara terbuka. Kerajaan yang baharu ditubuhkan ini perlu meneruskan pelaksanaan Generasi Penamat (GEG) secepat mungkin, mengharamkan sepenuhnya sistem penyampaian nikotin elektronik (ENDS). Alasannya adalah:
- E-cecair dengan dadah terlarang boleh diisi dalam botol dengan label palsu dan adalah mustahil bagi kerajaan untuk memantau produk yang dijual oleh kira-kira 3,000 peruncit vape domestik. DrugWatch mengakui bahawa “Sukar untuk menentukan apa yang ada dalam beribu-ribu e-cecair yang berbeza, juga dipanggil e-jus atau jus vape, yang dijual untuk e-rokok”.
- DrugWatch juga menegaskan bahawa: “Sebahagian daripada itu adalah kerana Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat tidak menyemak ramuan atau menetapkan piawaian. Terdapat banyak jenama dan perisa dengan pelbagai ramuan yang berbeza.”
- Ada kemungkinan untuk memasukkan dadah terlarang tertentu seperti tetrahydrocannabinol (THC), cannabidiol (CBD) (kedua-duanya adalah ramuan dalam ganja), lysergic acid diethylamide (LSD), gamma hydroxybutyrate (GHB), dan ketamin dalam e-cecair.
- Komposisi E-cecair mungkin perlu diuji menggunakan kromatografi gas dengan kaedah spektrometri jisim (GC-MS) dengan instrumen itu hanya terdapat di makmal kimia analisis moden. Ujian itu amat mahal dan menjadi beban fiskal yang tidak perlu kepada kerajaan.
- Kajian 2017 yang dijalankan di Malaysia mendedahkan bahawa 54% daripada penghisap vape yang ditemu bual memperolehi e-cecair sifar nikotin mereka itu daripada pasaran gelap; 30% memperolehi e-cecair buatan sendiri. Kerajaan tidak seharusnya naif untuk menganggap bahawa tiada pasaran gelap bagi e-cecair. Sebenarnya, e-cecair dengan mudah boleh dirumus ‘di dapur’ dengan hanya peralatan asas.
- Terdapat juga kemungkinan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan bahan kimia gred industri yang lebih murah berbanding bahan kimia gred makanan. Bahan kimia gred industri tidak begitu kritikal mengenai bahan cemar tertentu, bergantung kepada bahan kimia dan kegunaannya.
Bagaimanakah pegawai boleh membezakan antara e-cecair tulen dan yang telah dicampur dengan dadah terlarang kerana mereka menggunakan jenis peranti vape yang sama? Oleh itu, kami mengulangi gesaan kami kepada kerajaan yang baharu ditubuhkan untuk melaksanakan Generasi Penamat (GEG), termasuk larangan menyeluruh terhadap sistem penyampaian nikotin elektronik (ENDS) juga.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat kepada Pengarang, 29 November 2022