Langkah Beralih kepada Tenaga Solar bagi Golongan M40

Memandangkan bil elektrik yang lebih tinggi menjadikan tenaga solar lebih menarik, pinjaman dan skim sewa untuk beli membantu keluarga kelas pertengahan mengatasi halangan kos pemilikan.

Tenaga solar yang lebih murah semakin menarik minat golongan pertengahan memandangkan bil elektrik yang kian meningkat. Bil elektrik dijangka terus meningkat disebabkan pergantungan Malaysia terhadap bahan api fosil untuk penjanaan tenaga. Namun, banyak isi rumah keberatan untuk beralih kepada tenaga solar disebabkan kos pemasangan awal yang tinggi. Mereka juga kurang yakin dengan tahap kebolehpercayaan teknologi solar. Pihak kerajaan dan industri sedang mencari jalan untuk menjadikan tenaga solar lebih mampu milik, boleh dipercayai, dan mampan.

Di Simpang Ampat, Pulau Pinang, Sau Soon Sian, 43, dan Lim Shu Yee, 31, membeli sebuah kereta elektrik pada 2024 kerana mereka gemar mencuba sesuatu yang baharu. Sau merupakan seorang artis teknikal, manakala Lim ialah seorang pereka multimedia.

Lim menggunakan kereta itu untuk berulang-alik ke tempat kerja serta menghantar dan mengambil anak perempuan mereka yang berusia 5 tahun dari pusat jagaan harian dan kelas. Walau bagaimanapun, aktiviti mengecas kereta itu menambah kira-kira RM100 kepada bil elektrik bulanan keluarga mereka yang biasanya berjumlah antara RM220 hingga RM250. Bagi mengurangkan kos ini, mereka memasang sistem solar kediaman enam bulan selepas membeli kereta itu.

Kos pemasangan sistem solar berkapasiti 6.1kWp itu ialah RM19,000, satu komitmen kewangan yang besar. Untuk membiayai pemasangan itu, mereka meminjam wang daripada keluarga dan bukannya mengambil pinjaman bank. Mereka kemudian memohon dan menerima rebat tunai sebanyak RM4,000 menerusi Skim Insentif Solar untuk Rakyat (SolaRIS) anjuran kerajaan. Mereka menjangkakan penjimatan bil elektrik akan membolehkan mereka melunaskan pinjaman itu dalam tempoh kurang daripada enam tahun.

Program SolaRIS berakhir pada April tahun lalu dan digantikan pada Jun tahun ini dengan skim rebat di bawah Program Tindakan Peralihan Pantas Solar (Solar ATAP) TNB, yang menyalurkan semula lebihan tenaga elektrik ke grid.

Mengapakah harga elektrik meningkat? Pada 1 Julai tahun lalu, Malaysia melaksanakan struktur tarif elektrik yang baharu. Struktur ini merangkumi kadar Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) bulanan. Kadar AFA bergantung pada unjuran harga bahan api global dan kadar pertukaran mata wang. Ia terpakai kepada pengguna yang menggunakan lebih daripada 600 kWj sebulan (bil elektrik sekitar RM216). Golongan ini merangkumi ramai daripada kelas pertengahan.

Pada mulanya, AFA melibatkan pemberian rebat, tetapi keadaan berubah tiga bulan selepas konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjejaskan penghantaran bahan api fosil melalui Selat Hormuz, sekali gus menyebabkan harga bahan api fosil melonjak tinggi. Sejak  Mei tahun ini, isi rumah terbabit perlu membayar surcaj AFA. Memandangkan konflik itu berlarutan, surcaj ini dijangka akan meningkat.

Di Seremban, seorang guru bernama Rosazlina Binti Mohd, 42, dan seorang anggota polis, Mohd Shahfizal Bin Ismail, 41, telah mencuba pelbagai cara untuk menjimatkan bil elektrik mereka. Antaranya, seisi keluarga yang terdiri daripada lima orang itu pernah mencuba tidur bersama-sama di ruang tamu supaya mereka hanya perlu menggunakan satu unit penyaman udara. Mereka juga menukar mesin pengering pakaian mereka kepada model yang lebih cekap tenaga.

Namun, jumlah bil elektrik mereka hampir tidak berubah. Selain itu, anak-anak mereka juga memerlukan ruang peribadi masing-masing. Oleh itu, mereka memutuskan untuk meneliti pilihan sistem solar yang dipasang di bumbung rumah.

Selama enam bulan, Shahfizal membuat kajian mengenai pelbagai syarikat pemasang sistem solar. Kesemua syarikat mencadangkan agar beliau membeli sistem itu menggunakan kad kredit dan kemudian mengatur pembayaran secara ansuran dengan pihak bank. Walau bagaimanapun, beliau mendapati tempoh pembayaran balik selama lima tahun menyebabkan jumlah ansuran bulanan menjadi terlalu tinggi.

Kemudian, beliau menemui sebuah syarikat yang menawarkan skim sewa untuk beli dengan tempoh pelaksanaan selama 10 tahun.

Kini, Rosazlina dan Shahfizal membayar yuran sewa tetap sebanyak RM333 sebulan kepada syarikat solar itu, serta kurang daripada RM40 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi penggunaan elektrik tambahan yang melebihi bekalan daripada sistem solar. Ini mewakili penjimatan sekurang-kurangnya 25% pada bil TNB mereka.

Shahfizal berkata bil TNB mereka hanya meningkat semasa Ramadan dan cuti sekolah, apabila seisi keluarga menghabiskan lebih banyak masa di rumah dan seterusnya lebih kerap menggunakan penyaman udara. Mereka juga sedang mempertimbangkan untuk beralih sepenuhnya kepada penggunaan tenaga elektrik bagi perkakas rumah dan kenderaan mereka, seperti dapur memasak dan kereta.

Pengasas syarikat pemasangan sistem solar GetSolar Sdn. Bhd., Bolong Chew, berkata bahawa terdapat kekurangan kepercayaan dan kesedaran mengenai sistem solar. Oleh itu, ramai pemilik rumah yang berminat enggan membayar kos pendahuluan yang tinggi untuk sistem itu. Bagi mengurangkan halangan penyertaan, syarikat itu memutuskan untuk menawarkan skim sewa untuk beli.

Sejak krisis tenaga bermula, permintaan terhadap tenaga solar telah meningkat. Syarikat beliau menerima pertanyaan mengenai pemasangan sistem solar yang empat kali ganda lebih banyak pada April dan Mei berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Usaha untuk menggalakkan isi rumah menggunakan tenaga solar memerlukan insentif, seperti menjadikan sistem solar di atas bumbung sebagai sumber penjanaan pendapatan, kata  Prof. Dr. Lim Boon Han, yang menjalankan penyelidikan dalam bidang tenaga solar, optik dan kejuruteraan elektrik,. Golongan kelas pertengahan akan berminat untuk menyertainya sekiranya mereka boleh menyalurkan lebihan tenaga elektrik ke grid pada harga yang menguntungkan.

Namun, terdapat satu kekangan dari segi bekalan.

Hampir semua panel solar di Malaysia diimport dari China. Ini disebabkan oleh kelebihan daya saing kos China, kata Lim. Tetapi baru-baru ini China telah menarik balik rebat cukai bagi eksport panel solarnya. Langkah ini dijangka akan menyebabkan kenaikan harga sebanyak 10 hingga 15 peratus.

Namun begitu, dari sudut perniagaan, Chew daria GetSolar tidak berasa bimbang kerana pihak pemasang sepertinya sentiasa membuat perancangan awal. Bagi pengguna pula, beliau berpendapat bahawa rantaian bekalan global sudah tentu membolehkan mereka mendapat akses kepada teknologi paling canggih pada kos terendah. Selain itu, pada peringkat nasional, pengurangan pergantungan terhadap import adalah penting bagi memacu kebebasan tenaga.

Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan untuk mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050. Tenaga solar dijangka menyumbang 60 peratus daripada sasaran itu bersamaan dengan 164 juta panel solar menurut anggaran Garasi Bernama. Tetapi apakah yang akan berlaku kepada panel-panel solar ini apabila tamat tempoh hayat penggunaannya?

Bagi pengeluar tenaga solar berskala besar, panel yang tidak lagi digunakan biasanya berakhir di tapak pelupusan sampah, kata Austin Kuok, Pengurus Besar Zenviro Solar Panel Recycling Sdn. Bhd. Pengumpul bahan terpakai mungkin mengambil rangka aluminium untuk dikitar semula, namun membiarkan bahagian kaca dan kepingan fotovoltaik begitu sahaja.

Panel-panel ini tidak dikategorikan sebagai sisa terjadual walaupun ia mengandungi bahan toksik seperti plumbum dan nikel. Apabila berada di tapak pelupusan, bahan-bahan ini boleh meresap ke dalam tanah atau air.

Zenviro mula menjalankan aktiviti kitar semula panel solar terpakai pada 2024. Di kilang mereka, pekerja meleraikan rangka panel solar serta mengasingkan dan mengisar kaca dan kepingan fotovoltaik itu menjadi bahan yang boleh dikitar semula. Bahan-bahan ini kemudian dijual kepada kilang-kilang, contohnya untuk pembuatan kaca serta pengekstrakan logam seperti kuprum dan perak.

Pada masa ini, pengurusan sisa panel solar merupakan satu proses yang rumit, kata Kuok; apa yang diperlukan ialah peraturan yang jelas serta kesedaran mengenai kepentingan kaedah pelupusan yang betul.

Di Seremban, Rosazlina dan Shahfizal menyatakan bahawa pemasangan sistem solar merupakan satu pelan jangka panjang. Rosazlina berkata apabila anak-anak mereka tidak lagi tinggal bersama dalam tempoh 10 tahun akan datang, kos elektrik mereka akan menjadi lebih rendah. Shahfizal pula menambah bahawa beliau berharap lebih ramai orang memahami bahawa tenaga solar bukan hanya untuk golongan kaya.

Lim, seorang ahli akademik, turut memberikan peringatan mengenai peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui demi menjimatkan kos. “Kita perlu menyatakan bahawa pemasangan lebih banyak sistem solar [di kediaman] tidak bermakna kita dapat [mengurangkan kesan] perubahan iklim, kerana wujudnya kesan lantunan.” Kesan lantunan solar ini berlaku apabila pengguna kurang menitikberatkan penjimatan elektrik dan mula menggunakan lebih banyak tenaga elektrik memandangkan sistem solar telah mengurangkan bil elektrik mereka.

Penekanan yang lebih besar perlu diberikan kepada penjimatan tenaga, katanya: elakkan pembaziran elektrik dan beralih kepada peralatan yang cekap tenaga.

Pada peringkat nasional pula, beliau menambah bahawa bukan sistem solar kediaman tetapi sistem solar berskala utiliti iaitu loji solar berskala besar yang menyalurkan tenaga ke dalam grid elektrik yang akan menjadikan tenaga hijau mudah diakses dan mampu milik bagi semua lapisan masyarakat.

Sumber: Macaranga (24 Ogos 2026)

Laporan asal di sini:

https://www.macaranga.org/what-it-takes-to-get-m40s-to-go-solar/