Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa supaya dilindungi habitat katak dan menghentikan memakan amfibia berguna ini, yang sering kita tidak mempedulikannya atas alasan pembangunan ekonomi.
Kita memerlukannya untuk mengawal bilangan serangga. Katak memakan makhluk perosak seperti belalang, nyamuk, dan lalat. Sebahagian besar pemakan serangga, setiap katak boleh memakan lebih daripada berat badannya iaitu kira-kira 200 gram setiap hari dan ini boleh diterjemahkan kepada sejumlah serangga.
Berudu makan alga dan tumbuhan dan dengan itu memastikan saluran air bersih manakala beberapa spesies memakan larva nyamuk. Kajian menunjukkan berudu memakan telur nyamuk aedes.
Pada hakikatnya, nyamuk membunuh kebanyakan manusia – 725,000 kematian setahun – dengan penyakit yang dibawa dan disebarkan. Di Malaysia, terdapat hampir 20,000 kes demam denggi pada 2015 sahaja.
Perlu dinyatakan bahawa nyamuk aedes, diketahui menyebarkan virus yang menyebabkan denggi dan zika, yang juga bertanggungjawab bagi demam kuning, demam Nil Barat, chikungunya, eastern equine encephalitis, dan penyakit lain yang kurang diketahui. Pada 2012, terdapat 4,725 kes malaria dilaporkan yang disebabkan oleh nyamuk anopheles.
Untuk mengawal penyakit ini, kita perlu melindungi katak. Di Malaysia, terdapat dua jenis katak yang terdapat di sawah padi, Rana Cancrivora dan R. Limnocharis, dan ia bertanggungjawab memakan banyak spesies serangga yang hidup dalam ekosistem sawah padi. Tanaman padi menjadi sumber makanan serangga dan katak membantu menghapuskan serangga perosak dalam sawah padi. Katak di dalam sawah boleh mengurangkan bilangan stemborers, planthoppers dan mencegah kerosakan padi dengan mengurangkan serangga yang menyebarkan patogen penyakit. Realitinya katak adalah sahabat baik petani.
Lebih-lebih lagi katak adalah sebahagian daripada jaringan makanan, diburu dan dimakan oleh pemangsa lain seperti burung, kelawar dan ular.
Kepentingan katak tidak seharusnya terlepas pandang memandangkan 10 peratus Hadiah Nobel dalam Fisiologi dan Perubatan hasil daripada kajian menggunakan katak. Dilaporkan juga sekumpulan penyelidik Rusia mendapati lebih daripada 76 peptides antimikrob di atas kulit katak European Common Brown. Peptides ini berpotensi dalam mencegah patogenik dan jenis bakteria kebal antibiotik.
Bilangan katak di Malaysia sudah pun terancam oleh pembersihan hutan yang berleluasa untuk penanaman dan juga disebabkan oleh pencemaran. Sebagai makhluk amfibia, bahan kimia toksik daripada alam sekitar – di darat dan di dalam air mudah diserap melalui kulitnya yang nipis dan telap itu. Pencemaran saluran air juga membunuh atau menyebabkan mutasi aneh oleh bahan kimia seperti pengganggu endokrin.
Ironinya petani lebih suka menyembur sawah mereka dengan bahan kimia toksik yang mahal daripada menggunakan katak sebagai kawalan makhluk perosak yang lebih cekap. Racun rumpai, racun makhluk perosak dan baja kimia terus menjadi ancaman terbesar bagi katak.
Sebagai ganti melindungi mereka untuk memastikan makhluk perosak terkawal, katak ditangkap dan dijual di pasar seperti di Pasar Air Itam dan Batu Lanchang. Pasar Pulau Tikus dan Mt. Erskine telah berhenti menjual katak sejak penjualnya berhubung secara terus dengan restoran atau kini katak sukar untuk diperolehi.
Rana Cancrivora mendapat permintaan tinggi oleh restoran tempatan. Di pasar terdapat bekalan katak yang tidak tetap dan sering dibeli oleh suri rumah apabila bekalannya diperolehi. Bagaimanapun, tidak diketahui selera rakus untuk katak ini telah memupuskan bilangan katak di Malaysia memandangkan tidak terdapat kajian terhadap bilangannya.
SAM juga tertanya-tanya jika katak yang dijual di pasaran terdedah kepada bahan cemar kimia, terutama sekali pengganggu endokrin yang boleh mencetuskan tumor kanser, kecacatan kelahiran, dan gangguan perkembangan lain.
Terdapat kebimbangan yang serius sejak akhir-akhir ini oleh saintis dan biologis di seluruh dunia yang menyatakan misteri lenyapnya katak dan kodok. Profesor Mike Tyler di Australia memberi amaran bahawa bilangan amfibia sedang menuju ke arah kepupusan yang menandakan kerosakan alam sekitar yang teruk, menandakan potensi bencana kemanusiaan. Saintis melaporkan seluruh bilangan amfibia telah lenyap atau merosot daripada banyak negara (Amerika Syarikat, India, Jepun, dan Australia) malah dalam kawasan rizab yang dilindungi.
Memandangkan peranan penting katak dalam sistem ekologi kita, SAM menggesa kerajaan supaya mengharamkan sepenuhnya menangkap, menjual dan membunuh katak.
Sidang Akhbar, 4 November 2016