SAM GESA PENCEMARAN NAJIS BABI DI TANJUNG SEPAT DIATASI SEGERA

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Selangor,, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran najis babi di Tanjung Layang dan Kampung Batu Laut dekat Tanjung Sepat di sini.

Masalah yang berlarutan sejak 15 tahun yang lalu itu bukan saja semakin serius mencemarkan perairan di sini serta bau busuk yang tidak menyenangkan tetapi juga turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan di kedua-dua kawasan terbabit.

Mengulas laporan akhbar tempatan (Berita Harian ; 6 November 2016), SAM kesal kerana tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasi masalah itu sehingga 20 pengusaha belacan di Tanjung Layang terpaksa gulung tikar kerana udang geragau di perairan tersebut pupus akibat pencemaran najis babi ini.

Manakala Sungai Giling di Kampung Batu Laut bukan saja airnya berwarna hitam dan berbau busuk malah kini sungai tersebut telah mati dan tidak lagi mempunyai apa jua spesies hidupan air di dalamnya. Hutan paya bakau yang terdapat di kawasan ini juga mungkin musnah diancam pencemaran ini.

SAM percaya jika masalah ini dibiarkan berterusan tanpa tindakan undang-undang yang tegas diambil oleh pihak berkuasa ke atas pengusaha ternakan babi di kawasan berkenaan alam sekitar di sini akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang dan nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil laut akan terputus sumber pendapatan untuk menyara kehidupan keluarga mereka.

Lebih membimbangkan lagi, pencemaran najis babi ini juga boleh mencetuskan ancaman penyakit berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan dan meragut nyawa penduduk tempatan.

Justeru itu SAM meminta kerajaan negeri, JAS,PPV dan PBT membuat pemantauan yang kerap yang memastikan pengusaha ternakan babi di sini mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di bawah undang-undang yang ada. Hukuman berat wajar dikenakan ke atas pengusaha ternakan babi yang di dapati bersalah mencemarkan alam sekitar di kawasan ini.

Jika masalah ini masih berterusan dan gagal ditangani dengan berkesan, SAM mencadangkan supaya kerajaan negeri mengambil tindakan menutup semua ladang babi yang tidak mematuhi peraturan dan melanggar akta berkaitan. SAM meminta Jabatan Perikanan memberi bantuan atau pampasan kepada pengusaha-pengusaha belacan dan nelayan yang terputus mata pencarian akibat pencemaran ini agar mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

 

Kenyataan Media, 7 November 2016