Longkang di Batu Maung dicemari sisa buangan – SAM

Sisa buangan yang terdapat di dalam longkang di Batu Maung, Pulau Pinang.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat serta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan di dalam longkang dekat Batu Maung di sini.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati keadaan di kawasan itu amat menjijikan serta bau busuk. Longkang di sini bukan saja di penuhi berbagai sisa buangan termasuk plastik malah air di dalamnya juga berwarna hitam pekat dan berbuih.

Air berwarna hitam pekat, berbuih dan berbau busuk di Batu Maung, Pulau Pinang.

Kelihatan cecair merah dekat saluran ditepi longkang di Batu Maung Pulau Pinang.

Berhampiran saluran yang terdapat di tepi longkang di sini kelihatan tompok cecair berwarna kemerah-merahan dan ia amat meragukan dan dibimbangi mengandungi bahan berbahaya.

SAM percaya jika longkang terbabit tidak dibersihkan dan perbuatan membuang sisa di sini berterusan masalah pencemaran di kawasan tersebut akan merebak terutama ketika hujan di mana segala bahan kotoran akan di bawa arus ke laut.

Lebih membimbangkan lagi jika sisa buangan ini mengandungi bahan toksik kesan yang lebih buruk akan berlaku ke atas alam sekitar,kehidupan manusia dan hidupan laut pada masa akan datang.

Di samping boleh menimbulkan masalah kesihatan kepada orang ramai,sungai dan laut yang menjadi tempat para nelayan mencari rezeki akan turut terjejas sekali gus mengancam mata pencarian mereka.

Justeru,SAM meminta pihak berkenaan mengenal pasti punca sebenar kejadian ini dan mereka yang bertanggungjawab melakukan pencemaran tersebut. Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas pencemar yang terlibat agar kejadian seperti ini tidak berulang.

SAM menegaskan bahawa matlamat kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri ini bersih,hijau,sihat dan selamat tidak akan tercapai jika masalah kebersihan gagal ditangani dengan berkesan.

 

Kenyataan Media, 17hb Januari 2019