Sudahkah anda makan sayur hijau pada hari ini? Tahukah anda, rakyat Malaysia disarankan untuk mengambil sekurang-kurangnya 3 sajian sayur setiap hari mengikut saranan di dalam Piramid Makanan Malaysia. Sayur-sayuran berdaun hijau bukan sahaja mengandungi pelbagai nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan kita, malah ia mempunyai nilai kalori dan lemak yang rendah.
Sayur berdaun hijau (seperti bayam, kangkung, sawi dan kailan) adalah kaya dengan asid folik dan zat besi untuk mengurangkan masalah anemia, terutamanya untuk ibu hamil. Oleh itu, saranan pengambilan sayuran berdaun hijau amat ditekankan untuk ibu hamil yang hadir ke klinik kesihatan dengan masalah anemia.
Sayuran hijau juga merupakan sumber serat yang baik. Pengambilan serat yang secukupnya dapat mengawal pergerakan keluar masuk ke dapur kerana perut kekal kenyang untuk tempoh masa yang lebih lama. Malah sayuran hijau seperti salad juga boleh dijadikan snek yang boleh diambil antara waktu makan utama.
Oleh itu, jom kita ambil sayuran berdaun hijau pada setiap hari bermula dari hari ini.
~ Nutritionist Perak
(Sumber: Nutritionist KKM)