Malaysia Perlu Meningkatkan Tindakan Menangani Perubahan Iklim Dengan Segera

Dengan penerimaan-pakai Perjanjian Paris – sebuah perjanjian antarabangsa untuk tindakan menangani gejala perubahan iklim pasca 2020 – di persidangan perubahan iklim bulan Disember lepas, negara-negara parti kepada Konvensyen Kerangka Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC) membuat komitmen untuk meningkatkan usaha menangani perubahan iklim demi memberhentikan pengubahan sistem iklim serta kesan-kesan negatifnya ke atas masyarakat insan.

Sebagai sebuah negara daripada 197 negara parti yang telah merunding dan menerima pakai  Perjanjian tersebut dan seterusnya merupakan antara 175 negara parti yang turut menandatangani Perjanjian tersebut pada 22 April di New York, Malaysia haruslah melaksanakan Perjanjian tersebut.

Menjelang Persidangan Paris tempoh hari, Malaysia, seperti negara-negara yang lain telahpun mengemukakan pelan tindakan iklim yang dikenali sebagai Intended Nationally Determined Contributions (INDCs) di mana Malaysia telah mengisythiharkan hasratnya untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah kaca ‘sebanyak 45% menjelang tahun 2030 daripada tahap keamatan pelepasan mengikut KDNK tahun 2005’. Ini terdiri daripada pengurangan sebanyak 35% tanpa syarat dan 10% lagi yang berdasarkan penerimaan bantuan kewangan, peralihan teknologi dan pembinaan keupayaan daripada negara-negara membangun.

Malaysia juga amat tekal dalam mempertahankan prinsip-prinsip dan peruntukan UNFCCC ketika merundingkan perjanjian baru tersebut, terutamanya dalam menekankan bahawa perjanjian tersebut adalah tertakluk kepada Konvensyen, justerunya, tanggungjawab negara-negara membangun dari segi peruntukan bantuan kewangan, peralihan teknologi dan pembinaan keupayaan perlu dikekalkan.

Seruan peruntukan kewangan adalah jelas daripada kenyataan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak ketika mengikrarkan pengurangan 40% keamatan perlepasan  daripada tahap KDNK 2005 menjelang 2020 di sidang kemuncak Copenhagen pada tahun 2009 dan permintaan tersebut telahpun diulangi beberapa kali selepas itu.

Walau bagaimanapun, hampir lapan bulan telah berlalu sejak Paris dan Malaysia nampaknya ketinggalan dalam menggunakan peruntukan kewangan antarabangsa yang disediakan oleh Green Climate Fund (GCF),  entiti operasi mekanisme kewangan UNFCCC yang bertujuan membantu negara-negara membangun dalam peralihan menghala kepada pembangunan mampan cara rendah perlepasan dan berdaya tahan perubahan iklim.

Banyak negara-negara membangun telah mengemukakan cadangan peruntukan kewangan kepada GCF yang setakat ini telah meluluskan pelbagai projek dan rancangan yang kesemuanya bernilai hampir AS$440juta. Peruntukan tersebut disalurkan kepada projek-projek mitigation dan adaptation serta mengukuhkan rangkakerja institusi di negara-negara membangun supaya dapat menghasilkan pelan tindakan iklim yang sesuai.

Dalam penyediaan untuk menggunakan sumber kewangan GCF itu, setakat bulan Mei, 49 buah negara membangun telah mendapat geran kesediaan GCF yang membolehkan mereka untuk mengukuhkan keupayaan institusi pihak berkuasa negara yang telah ditetapkan (national designated authorities – NDA) atau focal point dan membangunkan program tindakan iklim di peringkat negara. NDA/focal point Malaysia adalah Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (PASPI) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

GCF mula meluluskan dana sejak tahun lepas. Sebagai contoh, permohonan Vietnam, untuk ‘meningkatkan daya tahan masyarakat pesisir pantai yang terdedah kepada kesan perubahan iklim’ dengan dana sejumlah AS$29.5juta telah diluluskan pada mesyuarat lembaga GCF baru-baru ini pada bulan Jun lepas.

Kecewa sekali, kita masih belum melihat apa-apa cadangan dari Malaysia, baik untuk geran kesediaan, mahupun cadangan projek, dalam senarai projek yang telah dikemukakan untuk penilaian atau kelulusan.

Untuk makluman, Malaysia merupakan antara 12 ahli-ahli lembaga yang mewakili negara-negara membangun dalam badan pentadbiran GCF.

Daripada segi teknologi, Malaysia juga merupakan salah satu daripada 26 negara yang mengambil bahagian dalam fasa kedua program penilaian keperluan teknologi global (technology needs assessment – TNA) yang disokong oleh UNFCCC. Walau bagaimanapun, Malaysia masih belum mengorak langkah dalam program ini sejak pelancarannya pada November 2014, dan ketinggalan di belakang negara-negara lain di rantau ini seperti Laos, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Dalam masa yang sama, Malaysia telah mengalami peristiwa cuaca yang melampau berkaitan perubahan iklim, contohnya banjir buruk pada akhir tahun 2014 yang dianggarkan telah mengalami kerugian berjumlah beratus-ratus juta ringgit di mana sektor pertanian di negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan sahaja, kerugian mencecah RM105juta.

Tiada anggaran rasmi kerugian daripada kejadian gelombang panas baru-baru ini tetapi kesan-kesannya memang telah dirasai oleh orang awam yang terpaksa memasang penghawa dingin dan membayar lebih untuk penggunaan elektrik.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Malaysia untuk memberi perhatian kepada cabaran yang bakal timbul daripada kesan perubahan iklim dan berusaha segera dalam melaksanakan tuntutan dengan tindakan yang setimpal.

Mekanisme UNFCCC yang meliputi GCF dan proses TNA boleh membantu Malaysia bersedia menangani perubahan iklim dan melaksanakan lebih banyak tindakan dengan sumber-sumber kewangan dan teknologi yang sedia ada, termasuklah memantapkan Bahagian Perubahan Iklim dalam Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui geran kesediaan daripada GCF.

Malaysia perlu mencontohi negara-negara membangun yang lain yang mengambil serius masalah perubahan iklim dan menggunakan sumber-sumber kewangan antarabangsa yang sedia ada seperti GCF untuk memenuhi keperluan kewangan serta keperluan teknologi iklim.

Seharusnya tidak ada lagi alasan untuk penangguhan. Oleh itu SAM menggesa kerajaan Malaysia untuk bertindak sekarang dan bertindak dengan tegas dan pantas.

 

Surat Kepada Pengarang, 12 Ogos 2016