Perbetulkan Kekurangan Dalam Sistem Pengangkutan Jalan Tanpa Penangguhan

Lebih dua tahun sudah berlalu sejak Panel Penasihat kemalangan Genting Highlands menyerahkan 51 cadangan kepada Kementerian Pengangkutan dalam usaha untuk memperbaiki sistem keselamatan jalan kebangsaan secara menyeluruh.

Kemalangan kenderaan komersial dan awam menunjukkan betapa terdapat kecacatan dan kekurangan yang serius dalam sistem pengangkutan jalan yang tidak dipedulikan dengan begitu lama.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terus mempersoalkan kelewatan dan sikap sambil lewa serta lambat bertindak yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa.

Kenderaan dipandu laju dan hilang kawalan akibat kegagalan brek telah menjadi bahan berita biasa hari ini. Kejadian kemalangan bas berdekatan Terowong Menora baru-baru ini dan bas dengan pelancong dari China yang terbalik di Genting Highlands adalah antara beberapa contoh.

Salah satu daripada cadangan Panel Penasihat Genting Highlands adalah pelaksanaan strategi pengurusan yang lebih sempurna sesuai bagi rupa bumi yang berbukit. Ini termasuklah meneliti semula dan mewartakan had laju dan had berat kenderaan di jalan berbukit, termasuk jalan persendirian dengan akses awam.

Seterusnya, peralatan untuk meredakan lalu lintas yang sewajarnya dan tanda amaran perlu dipasang untuk memperlahankan kenderaan dan menyampaikan mesej amaran keselamatan secara berkesan. Adakah perkara ini dilaksanakan?

Pihak berkuasa mengambil masa yang terlalu lama serta sambil lewa berhubung keputusan untuk memasang alat had laju atau GPS dalam kenderaan awam dan komersial untuk mengawal kelajuan. Selepas penangguhan yang begitu lama, keputusan telah dibuat baru-baru ini tetapi ramai pengendali pengangkutan masih belum akur kepada keperluan itu. Berapa lama lagi yang kita perlu menunggu untuk patuh sepenuhnya?

Kita juga masih belum meneliti perkara berhubung had usia bagi bas. Kita mempunyai banyak kenderaan berusia yang berada di jalan raya dan ia umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meletup. Ia berpotensi mengalami kegagalan brek akibat keadaan usianya.

Bas-bas lama juga tidak mematuhi Peraturan PBB bagi pembinaan badan bas. Tambahan pula, rancangan untuk memasang tali pinggang keledar di dalam bas juga terhenti begitu sahaja.

Amat diragui bahawa pemeriksaan keselamatan dibuat ke atas bas-bas sebelum setiap perjalanan seperti mana yang didakwa oleh pengendali pengangkutan. Jika begitu siapakah yang memastikan bahawa prosedur ini benar-benar diikuti oleh mereka?

CAP menggesa pihak berkuasa pengangkutan memastikan pelaksanaan sepenuhnya perkara yang berikut tanpa sebarang penangguhan:

  1. 51 cadangan oleh Panel Penasihat Genting;
  2. Strategi pengurusan yang lebih sempurna bagi rupa bumi berbukit seperti had laju dan had berat bagi kenderaan;
  3. Peralatan meredakan lalu lintas dan tanda amaran untuk memperlahankan lalu lintas yang sesuai bagi rupa bumi berbukit;
  4. Memasang alat had laju;
  5. Menetapkan had usia bagi bas;
  6. Memastikan bas mematuhi Peraturan PBB untuk pembinaan badan bas dan tali pinggang keledar turut dipasang.
  7. Memastikan semua pengendali pengangkutan awam melaksanakan program ICOP SHE yang akan memastikan bas diuji sebelum memulakan setiap perjalanan.

 

Surat Kepada Pengarang, 11 Ogos 2016